PASIR GUDANG – Kerajaan tidak memerlukan bantuan atau kepakaran dari luar negara untuk mengendali dan menguruskan masalah pencemaran udara di daerah ini yang melanda sejak 10 hari lalu.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin yakin, pasukan keselamatan agensi kerajaan mampu menangani masalah tersebut tanpa perlu campur tangan luar.
“Kita tidak mempertimbangkan perkara ini (bantuan dari luar) pada ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Aqabah di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar, Pengarah Bomba Johor, Datuk Yahaya Madis dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz.
Beliau mengulas saranan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar dari negeri ini supaya mendapatkan bantuan dari negara luar yang berpengalaman untuk menyelesai dan menguruskan pencemaran udara di daerah ini. – UTUSAN ONLINE











