Sejauh mana perkembangan pengambilalihan Fortis di India setakat ini?
Pada pandangan saya, isu Fortis merupakan antara urusan pengambilalihan yang mengambil masa lama. Ia adalah gabungan antara usaha keras dan bekerja secara pintar.
Kami melihat manfaat setiap urusan itu untuk tempoh jangka panjang dan bukan mengharapkan keputusan serta-merta. Sekurang-kurangnya dalam tempoh saya berkhidmat, ia mengambil masa yang lama bagi memastikan kami betul-betul pasti sebelum memulakan pengambilalihan.
Apakah yang berlaku sebenarnya?
IHH menawarkan untuk mengambil baki 26 peratus kepentingan dalam Fortis. Bagaimanapun, Mahkamah Agung India meluluskan perintah status quo berkenaan penjualan kawalan kepentingan tersebut.
Disebabkan itu, subsidiari tidak langsung IHH, Northern TK Venture (NTK) tidak dapat meneruskan tawaran terbuka untuk Fortis sehingga perintah selanjutnya, penjelasan atau arahan yang dikeluarkan sama ada Mahkamah Agung dan Exchange Board of India.
Apakah impak pengambilalihan itu kepada IHH?
Perkara itu memberi kesan minimum kepada syarikat dan berharap ia dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang hujung tahun ini. Tindakan Mahkamah Agung sangat mempengaruhi tawaran sekunder yang mana ia adalah wang masuk ke dalam syarikat untuk membeli semua saham pemegang saham minoriti.
Saya difahamkan Mahkamah Agung telah mendengar semua pandangan serta perbincangan dan kini sedang membuat pertimbangan.
Jika mereka kata ia boleh diteruskan, wang yang sudah ada di India akan digunakan untuk membayar pemegang saham minoriti. Pegangan kami akan melebihi 50 peratus berbanding 31.1 peratus ketika ini, tetapi ia tidak akan mengubah cara kami beroperasi.
Adakah ini masa yang sesuai bagi Dr. berundur dari IHH setelah menerajuinya hampir 10 tahun?
Saya melihat IHH kini telah menjadi sebuah organisasi penjagaan kesihatan terkemuka bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat global terutama Asia. Pelbagai perancangan dan pelan pengembangan berjalan dengan lancar sehingga kedudukan IHH begitu kukuh seperti sekarang.
Pengalaman bersama IHH sangat hebat dan menarik. Pada peringkat tertentu, saya telah menyediakan keseluruhan platform untuk IHH memacu pertumbuhannya pada masa depan seperti meluaskan penerokaan ke pasaran global yang berpotensi tinggi termasuk China dan India.
IHH juga menjadi penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta kedua terbesar di India melalui Fortis. Kami juga berjaya mencapai kesemua sasaran dalam perancangan 100 hari untuk Fortis.
Mampukah kejayaan IHH hari ini diteruskan oleh pengganti selepas ini?
Dengan apa yang telah dilakukan sehingga meletakkan IHH pada kedudukan sekarang ini, saya yakin pengganti saya akan melaksanakan pelbagai perancangan untuk membawa syarikat ke tahap lebih tinggi.
Syarikat kini berada di puncak, tetapi kami menganggap ia sebagai permulaan. Ini adalah masa terbaik untuk menyerahkan kepada seseorang (Dr. Kelvin Loh).











