PASIR GUDANG – Beberapa langkah diambil kerajaan negeri dan pasukan keselamatan pada peringkat awal bagi menangani insiden pencemaran di daerah ini yang sudah berlarutan sejak 10 hari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, antaranya dengan pembentukan satu petugas khas melibatkan seperti dan penguat kuasa.
“Ini melibatkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kimia, Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen (JKKP), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), bomba dan
Pasukan Bantuan Kecemasan Bersama Pasir Gudang (Pagema).
“Mereka akan membuat pemantauan kualiti udara secara serentak di 85 buah sekolah yang berada dalam pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang.
“Pihak JAS juga akan mempertingkatjkan pemantauan dan penguatkuasaan dalam penyingkiran bahan-bahan sisa industri di lokasi yang berhampiran dengan taman dan perumahan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Aqabah di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, Pengarah Bomba Johor, Datuk Yahaya Madis dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz.
Mohd. Khuzzan berkata, pihak JKKP akan membuat pemeriksaan inventori di 250 premis kilang yang mengandalikan bahan-bahan kimia di daerah ini mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Pihak Kementerian Kesihatan membentuk 18 pasukan First Aid yang akan memberikan pendidikan awal menjaga kebersihan diri, katanya.
“Aktiviti pembelajaran di tingkat atas sekolah-sekolah yang terjejas telah dipindahkan ke bahagian bawah sekolah tersebut,” ujarnya.
Tambahnya, aktiviti gerak tumpu bagi pembersihan di kawasan persekitaran sekolah dan taman perumahan. – UTUSAN ONLINE











