1.Ibu bapa atau pendidik mestilah meletakkan niat sebelum merotan itu, untuk mendidik jiwa anak/pelajar tersebut dan bukannya untuk menghukum fizikal yang melakukan kesalahan. Dengan ini ia dapat mengelakkan ibu-bapa atau guru daripada merotan mengikut hawa nafsu sehingga cedera.
2. Selain itu, hukuman ini perlulah dilakukan secara berperingkat-peringkat. Pada peringkat awal hukuman dari aspek emosi boleh dilakukan, seperti mengasingkan anak atau murid tersebut daripada rakan-rakannya. Sekiranya cara ini tidak berkesan, barulah ibu-bapa atau guru menggunakan hukuman fizikal.
3. Hukuman rotan tersebut hendaklah merupakan alternatif terakhir, setelah cara-cara didikan lain digunakan.
4. Elakkan merotan ketika sedang marah. Hendaklah ibu-bapa atau para guru dalam keadaan waras dan tenangkan diri seketika sebelum mengambil tindakan untuk merotan.
5. Dilarang sama sekali untuk merotan anak-anak di bahagian muka dan bahagian-bahagian yang merbahaya seperti dekat dengan kepala, perut, dada dan kemaluan. Merotan bukannya bertujuan untuk mendera sampai tinggal lebam pada badan dan sebagainya. Ini kerana, terdapat larangan daripada Nabi S.A.W dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa baginda bersabda:
“Apabila salah seorang daripada kamu bergaduh maka hendaklah dia menjauhi (dari memukul) muka.” (Riwayat Muslim)
Hal yang demikian itu kerana, muka seseorang itu adalah tempat yang lembut dan menghimpunkan keseluruhan keindahan. Bahagian anggota padanya juga lembut dan boleh rosak apabila dipukul.
6. Memukul juga tidak boleh menyebabkan kerosakan dan kemudaratan pada tubuh badan anak-anak/pelajar seperti luka atau patah tulang. Ini sebagaimana yang telah dinyatakan, tujuan dipukul adalah bersifat ta’dibi(memberi pendidikan) dan bukannya ta’qibi(memberi hukuman dan seksaan).
7. Dalam merotan anak-anak, sebatan tidak boleh dilakukan dengan melebihi 10 kali. Ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Burdah al-Ansari R.anh bahawa Nabi SAW bersabda:
“Tidak disebat seseorang itu melebihi sepuluh kali sebatan kecuali pada (hukuman) had daripada hudud-hudud Allah SWT” (Riwayat al-Bukhari)
8. Hendaklah ibu-bapa atau guru itu sendiri yang merotan dan tidak mewakilkan hukuman tersebut kepada anak atau murid yang lain.
Sebagai pendidik, saya menyarankan agar melengkapkan diri kita dengan kemahiran pedagogi yang sesuai dengan generasi anak muda kini bagi membantu proses pendidikan dan pembinaan insan. Di samping itu, sistem dan falsafah pendidikan juga perlu ditambah baik agar penekanan dapat diberikan kepada aspek nilai dan akhlak selain akademik dan pemikiran kritis.
Subjek seperti moral dan sivik yang pernah ada suatu ketika perlu diwujudkan semula. Subjek sejarah juga perlu diberikan nafas baru agar ia mampu membentuk jati diri generasi muda serta meningkatkan rasa milik (self belonging) kepada negara dan memperkukuh perpaduan serta rasa hormat antara satu sama lain.
Sebagai penutup, ingin saya tegaskan bahawa merotan anak/pelajar dengan cara yang melampau dan menyebabkan kecederaan yang serius sehingga pengsan atau patah tulang adalah haram. Ini kerana Islam menolak sebarang bentuk kekerasan sekalipun dalam perkara kebaikan dan melarang kepada perbuatan yang memberi mudharat.
Anak-anak merupakan satu amanah daripada Allah SWT untuk dipelihara dan diberi didikan sebaik mungkin oleh ibu bapa/guru. Malah mereka akan dipersoal di akhirat kelak terhadap apa yang telah mereka lakukan kepada anak-anak di bawah tanggungan mereka. Dalam memberi didikan, ia bukanlah sekadar dengan merotan atau memukul.
Sebaliknya, lakukanlah gabungan di antara al-Targhib (memberi rangsangan atau anjuran) dan juga al-Tarhib (memberikan amaran dan ancaman) dalam membentuk peribadi anak-anak/pelajar.-UTUSAN ONLINE
Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda Pas.











