ALOR SETAR – Seorang lelaki maut dipercayai tertembak diri sendiri semasa mencuci senapang patah jenis benelli semi auto miliknya di Kampung Perlis Simpor, Tikam Batu, dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang, mangsa berusia 59 tahun yang merupakan seorang peniaga ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tersembam oleh isterinya di anjung rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, terdapat kesan tembakan di bawah dagu kirinya dan mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 6.35 petang oleh pegawai perubatan.
“Isteri mangsa menyedari suaminya membawa keluar senjata itu bersama peralatan mencuci dan tidak sampai lima minit kemudian dia terdengar bunyi tembakan lalu meluru keluar untuk melihat.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak bermaya sambil memeluk senjata dan muncung senjata menghala ke arah dagu,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Adzli berkata, mangsa merupakan pemegang lesen senjata api yang sah dan baru memperbaharui lesennya pada 25 Jun lalu yang bertujuan mencegah musuh tanaman.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 manakala kematian mangsa yang merupakan bapa kepada empat orang anak diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
“Mayat akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk proses bedah siasat,” katanya. -UTUSAN ONLINE











