Jangan melenting apabila ditegur - PM - Utusan Malaysia

Jangan melenting apabila ditegur – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Penjawat awam diingatkan agar jangan melenting apabila ditegur, sebaliknya berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penjawat awam juga perlu bersikap toleransi, bekerjasama dan menerima kelainan-kelainan yang terdapat di kalangan mereka.

Menurut Perdana Menteri, beliau ada membaca laporan di dalam surat khabar menyatakan bahawa mutu perkhidmatan awam kononnya tidak lagi efisien seperti dahulu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mungkin ini benar, mungkin juga ini tidak benar keseluruhannya. Namun demikian, apabila kita ditegur janganlah kita melenting, sebaliknya kita ambil kira teguran itu sama ada mempunyai asas atau pun tidak.

“Jika dapati ada asas-asasnya maka hendaklah kita betulkan diri kita.

“Dalam badan-badan yang terdapat dalam Jabatan Perdana Menteri ini ada banyak masalah kerana kadang-kadang kita dapati, kita terpaksa bekerja dengan orang yang mungkin tidak sebulu, tidak sesuai dengan kita,” katanya berucap di majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Putra di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar.

Menurut Perdana Menteri, sikap toleransi amat penting bagi penjawat awam mententeramkan keadaan di sekitar atau di sekeliling mereka.

“Kalau kita tidak toleransi, tidak sanggup bertimbang rasa maka agak sukar bagi kita menjalankan tugas dalam satu badan yang sudah tentu mempunyai orang di pelbagai peringkat.

“Kalau tidak ada kerjasama yang baik di antara orang di peringkat tinggi dan rendah, maka sukar bagi kita untuk melaksanakan tugas kita,” katanya.

Beliau berkata, penjawat awam perlu sedar bahawa kerjaan Pakatan Harapan adalah kerajaan baharu yang baru memerintah lebih satu tahun.

Dalam tempoh berkenaan katanya, didapati banyak masalah yang sesetengahnya dapat diatasi.

“Tetapi masalah hubungan baik antara yang baharu dan yang lama menjadi satu masalah yang perlu diatasi oleh kita semua,” katanya.

Beliau sehubungan itu mengajak penjawat awam menzahirkan dalam kehidupan mereka ucapan ‘maaf zahir dan batin’ yang sering diungkapkan sepanjang meraikan Hari Raya Aidilfitri.

“Kita mesti amalkan apa yang kita sebut, iaitu kalau ada sesuatu yang tidak disenangi oleh kita hendaklah kita fikir bahawa pentingnya kita bermaaf-maafan supaya kita dapat bekerjasama dalam usaha kita mentadbir negara ini dengan baik supaya kita semua akan mendapat manafaat daripada hasil pentadbiran baik yang kita lakukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini