KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menyalurkan lebih RM800,000 kepada golongan petani, penternak dan pengusaha perikanan di negeri ini yang terjejas akibat Covid-19 sejak Mac 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, pemberian bantuan itu bagi memastikan rantaian makanan dapat diteruskan walaupun dalam tempoh pandemik.
“Sejak awal krisis Covid-19 lagi kita telah memperuntukkan sebanyak RM200,000 kepada pengusaha tembikai manakala RM200,000 lagi dalam sektor akuakultur bagi bantuan makanan ikan.
“Selain itu, sejumlah RM300,000 diberikan dalam bentuk bantuan peralatan, anak benih, baja, racun dan sebagainya kepada petani,” katanya selepas menyampaikan bantuan sekali bayar (one-off) RM500 kepada 101 pemain industri yang dijangkiti Covid-19 di Pusat Pertanian Bandar Batu Buruk di sini hari ini.
Azman berkata, bantuan fasa kedua itu melibatkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi bekas pesakit Covid-19 dari Julai hingga Disember tahun lalu.
Katanya, seramai 92 orang telah menerima bantuan sama bagi fasa pertama. –UTUSAN











