PETALING JAYA: Anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) menjadi petugas barisan depan pertama yang akan menggunakan kamera badan dalam tempoh terdekat.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLOG) Bukit Aman, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata, permohonan untuk itu telah diluluskan oleh jawatankuasa teknikal untuk perolehan kamera badan.
Kata beliau, kuantiti kamera badan yang diperoleh bergantung kepada proses tender yang akan dikendalikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN)
“Sekarang kamera badan berkenaan dalam proses perolehan.
“Pada peringkat awal, penggunaan kamera badan berkenaan akan digunakan oleh petugas barisan hadapan yang bertugas dengan orang awam seperti anggota dari URB dan MPV polis,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum ini mengumumkan membuat pelaksanaan secara berperingkat bagi pemakaian kamera badan kepada anggota penguatkuasanya mulai Jun ini.
Pemakaian kamera badan dilaksanakan bagi menangani salah laku dan aktiviti rasuah dalam kalangan pasukan uniform berkenaan terutamanya petugas barisan hadapan seperti di pintu masuk negara.
Pada Mei tahun lalu, PDRM memohon KDN mempercepat penawaran tender perolehan kamera badan bagi kegunaan anggota polis di lapangan.
Bekas Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata, pihaknya mendapat maklum balas positif daripada KDN berhubung pembelian kira-kira 2,000 unit kamera badan itu.
Perolehan itu akan melalui proses penilaian oleh jawatankuasa teknikal sebelum dipilih oleh Lembaga Perolehan Tender di KDN, bagi mengeluarkan surat setuju terima kepada syarikat yang terpilih.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi melindungi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada perbuatan fitnah penjenayah atau orang tidak bertanggungjawab, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM30 juta bagi tujuan pembelian kamera badan untuk kegunaan mereka. – UTUSAN











