PETALING JAYA: Meskipun beberapa kelonggaran aktiviti diberikan termasuk bagi negeri yang masih dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), masih terdapat individu sengaja mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Perkara itu jelas apabila sebanyak 4,648 kompaun dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara sejak awal tahun ini sehingga 2 Februari lalu kepada individu dan premis yang gagal mematuhi SOP.
Ini melibatkan kegagalan mematuhi protokol kesihatan seperti penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka serta mengimbas aplikasi MySejahtera.
Memberitahu Utusan Malaysia, Senior Asisten Komisioner (SAC) Gerakan Jabatan Keselamatan dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Senior Asisten M.V Sri Kumar berkata, aktiviti penguatkuasaan masih dijalankan polis bersama beberapa agensi lain.
Sehubungan itu kata beliau, jika mana-mana individu didapati mengabaikan SOP yang ditetapkan, tindakan kompaun akan diambil.
“Berdasarkan statistik, sebanyak 4,508 kompaun dikeluarkan terhadap individu perseorangan manakala 140 kompaun lagi dikenakan terhadap pertubuhan atau perbadanan yang gagal mematuhi SOP.
“Bagi sambutan Tahun Baharu Cina yang disambut pada Selasa lalu dan semalam, sebanyak 273 kompaun dikeluarkan di seluruh negara dan jumlah ini sekali gus menunjukkan masih ada lagi yang degil dengan melanggar SOP,” katanya di sini semalam.
Mengulas lebih lanjut, Sri Kumar memberitahu, sepanjang tempoh sama, Kuala Lumpur mencatatkan kompaun paling banyak dikeluarkan iaitu sebanyak 1,401 kompaun diikuti Perak (995 kompaun), Selangor (705 kompaun) dan Johor (464 kompaun) serta Sarawak (414 kompaun).
Selain itu kata beliau, sebanyak 254 kompaun dikeluarkan di Sabah diikuti Melaka (169 kompaun), Pulau Pinang (136 kompaun), Kedah (91 kompaun) dan Perlis (dua kompaun) serta Negeri Sembilan, Terengganu, Pahang masing-masing tiada kompaun dikeluarkan.
“Ingin diingatkan di sini, walaupun kelonggaran diberikan tetapi tidak bermaksud virus ini telah berakhir. Kerajaan telah beri kelonggaran tetapi saya harap kerjasama diberikan bagi memastikan keselamatan diri, pastikan pelitup muka dipakai, penjarakan fizikal dibuat.
“Penguatkuasaan terus dijalankan dan mana-mana didapati melanggar Akta 342, kita ambil tindakan kompaun dan tiada lagi kompromi,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











