PETALING JAYA: “Ramai pemimpin politik di negara ini hanya gemar ‘sembang kari’ berbanding memberi fokus kepada pembangunan dan kestabilan negara.”
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, slogan kita banyak tapi semua hanya angan-angan sebab pelaksanaannya gagal.
Baharom berkata, Indonesia berkembang pesat kerana pemerintahnya mengutamakan golongan yang layak dan dalam kalangan profesional untuk menjadi barisan pemimpin.
“Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi menunjukkan kematangan dalam berpolitik. Beliau tidak banyak berpolitik dan telah membuktikan fokusnya terhadap pendidikan, penyelidikan serta menerima buah fikiran mana-mana individu walaupun daripada kepemimpinan pembangkang dalam kerajaannya.
“Kalau di Malaysia, slogan kita banyak tapi semua hanya angan-angan sebab pelaksanaannya gagal, malah kematangan berpolitik pun kita masih gagal untuk capai. Perjanjian Persefahaman (MoU) ditandatangani tapi masih berlaku pilihan raya di sana sini.
“Jika kita mahu menjadi seperti Indonesia hari ini, kita perlu membangunkan setiap genap Malaysia ini.
“Jokowi mengalihkan ibu negaranya ke Nusantara bagi memastikan negara itu dapat memastikan pembangunan di setiap wilayah di negara itu seiring. Sementara kita pula, di Sabah dan Sarawak masih wujud jurang pembangunannya,” katanya di sini, semalam.
Beliau mengulas prestasi Malaysia dari sudut pelaburan dan kematangan politik.
Kata Baharom, barisan pimpin daripada golongan profesional diperlukan untuk membangkitkan setiap kementerian.
Selain itu, menurut beliau, lantikan politik hanya akan menidakkan individu yang berpengetahuan dan berkelulusan sehingga menyebabkan kemudaratan kepada ekonomi negara.
Terdahulu, Indonesia menjadi bualan dalam kalangan rakyat Malaysia selepas ibu negaranya dipindahkan ke Nusantara bagi membangunkan kawasan itu sekali gus menunjukkan kerajaan di bawah pimpinan presiden itu semakin maju ke hadapan malah menjadi pilihan untuk pelaburan bagi negara-negara maju.
Sementara itu, , Pensyarah Kanan Politik Dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata Malaysia perlu lebih terbuka dan menerima Indonesia sebagai rakan serumpun untuk bekerjasama.
“Melihatkan pembangunan Indonesia, negara kita patut membuka peluang kerjasama terutama dari sektor ekonomi untuk menghasilkan lebih banyak produk kerana kita ini berjiran.
“Jika kita perhatikan, Indonesia lalui zaman yang mencabar termasuk revolusi sebelum mereka sampai ke tahap ini. Jadi kini, tidak dinafikan, politik di sana lebih matang manakala kita masih belum mempunyai pengalaman yang cukup dan masih memerlukan masa untuk bergerak begitu,” katanya. – UTUSAN










