Berkualitikah ijazah universiti kita? - Utusan Malaysia

Berkualitikah ijazah universiti kita?

TEMPOH tiga tahun pengajian ijazah sarjana muda di kebanyakan universiti di England adalah berbeza dengan negara kita dari aspek syarat dan mutu kemasukan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STRUKTUR pengajian ijazah sarjana muda di sesebuah universiti mempunyai hubungan besar dengan graduan yang diha­silkan. Bukan sahaja mutu graduan dan pasaran kerja tetapi juga kesan kesarjanaan di peringkat lebih tinggi, sarjana dan doktor falsafah.

Pokoknya, pengajian yang dilalui di peringkat ijazah sarjana muda seseorang itu mempunyai peranan dan kesan besar kepada masa depan dan corak pemikirannya. Oleh itu, struktur dan falsafah pengajian di peringkat ijazah sarjana muda perlu dilihat oleh pihak universiti dan kerajaan sebagai suatu asas yang sangat penting.

Struktur pengajian yang ada sekarang pada asasnya bermula dari 1996. Tempoh pengajian berubah dari empat tahun secara umumnya kepada tiga tahun berikutan arahan Menteri Pendidikan pada masa itu.

Alasan diberikan, negara memerlukan tenaga kerja lebih cepat, maka tempoh masa pengajian ijazah sarjana muda pun mesti dipendekkan. Polisi bersifat top-down ini sangat berkesan. Ia dipatuhi oleh kebanyakan universiti dan tidak ramai menolak.

Dalam kontek Malaysia, kuasa menteri (dalam hal ini Menteri Pendidikan) sangat besar pengaruhnya. Jika menolak arahan dan saranan seorang menteri, maka kesan kurang baik akan berlaku. Ia mungkin dianggap tidak patuh atau menentang.

Maka apa berlaku, kebanyakan universiti (hampir semua) mengubah struktur pengajian dari empat ke tiga tahun. Dengan jumlah jam kredit yang sama (iaitu 120 jam) telah memberi kesan besar kepada mahasiswa dan pengurusan pendidikan universiti.

Ini bermakna dalam setiap semester, mahasiswa perlu memenuhi 20 jam kredit (40 jam kredit bagi satu sesi pengajian). Adakah ini wajar? Apakah kesannya kepada kualiti dan kematangan ilmu seseorang mahasiswa?

Kursus-kursus di universiti perlu penguasaan dan pene­rokaan ilmu lebih mendalam. Sempatkah 20 jam kredit sa­tu semester menghasilkan seo­rang mahasiswa yang benar-benar matang dalam setiap kursus diambil? Jawapan mudahnya, tidak mampu.

Mahasiswa tiada masa benar-benar mencukupi bagi melakukan penerokaan dan pemahaman mendalam sesuatu kursus diambil. Jadual pengajian juga padat dan tidak banyak ruang selesa bagi menjalani kehidupan kampus yang benar-benar bersifat mahasiswa universiti. Perubahan dilakukan oleh Menteri Pendidikan sebelum 1996 adalah lebih rasional iaitu semua ijazah sarjana muda perlu mengambil masa empat tahun (kecuali bagi kursus perubatan yang perlukan masa lebih lama).

Dengan tempoh empat tahun, mahasiswa hanya perlu memenuhi 14 hingga 16 jam kredit dalam satu semester. Lima kursus bagi satu semester adalah lebih wajar dan memberikan banyak kesan positif kepada mahasiswa.

Dengan struktur pengajian tiga tahun, mahasiswa perlu mengambil sebanyak tujuh kursus bagi sesuatu semester (21 jam kredit bagi setiap kursus bernilai tiga jam kredit). Mahasiswa sudah tidak dapat menikmati nilai dan kehidupan dunia kampus sebenar. Dia sentiasa kejar-mengejar dan terpaksa mengikuti banyak jam kuliah setiap hari.

DEKAN

Ini bukan bermakna kita menafikan tugas utama mahasiswa mengikuti kuliah, tetapi apa yang ingin dipaparkan adalah nilai dan penerokaan sebenar ilmu tidak berlaku dengan jumlah jam kuliah yang banyak setiap hari. Kita perlukan penerokaan ilmu dengan lebih mendalam, bukan jumlah jam kuliah yang banyak dan sambil lewa dan sekadarnya.

Kementerian ada menya­rankan universiti menyusun semula struktur dan tempoh pengajian masing-masing. Tapi peru­bahan ini tidak berlaku secara menyeluruh kerana tidak semua pentadbir utama universiti melihat persoalan ini sebagai suatu yang penting.

Perubahan bersifat bottom-up kesannya sangat perlahan. Memang ada universiti yang mengubah semula struktur dan tempoh pengajian selepas 1996 kepada empat tahun semula. Bilangannya sangat kecil. Sebahagian besar struktur pengajian ijazah sarjana muda sains sosial dan kemanusiaan contohnya, masih lagi tiga tahun.

Tidak semua timbalan naib canselor dan dekan melihat perkara ini penting. Ia dibiarkan berlarutan dengan tempoh tiga tahun pengajian, seolah-olah tiada cacat-cela.

Persoalan-persoalan lain yang kurang penting dan tidak bersifat benar-benar akademik kadang-kadang lebih diberi perhatian oleh pentadbiran akademik universiti.

Tempoh tiga tahun boleh dilakukan seperti kebanyakan universiti di England. Tetapi keadaan berbeza antara Malaysia dan England. Calon yang memasuki universiti berbeza syarat dan mutunya.

Sistem tapisan untuk ke universiti iaitu Sijil Timggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan A-Level adalah berbeza dalam beberapa aspek. A-Level masih dengan penilaian tradisi yang tidak berubah. Kelulusan prinsipal yang dicapai dalam mata pelajaran A-Level tidak boleh disamatarafkan dengan STPM dalam semua aspek.

Perubahan STPM yang dilakukan tidak sebenar-benar berteraskan akademik sepatutnya terhasil daripada guru-guru yang mengajar tingkatan enam sepenuhnya, tetapi lebih bersifat arahan daripada pihak atas. Perubahan dilihat sebagai simbol seseorang pegawai itu ‘bekerja’ pada hal memperkemaskan apa yang ada, kadang-kadang lebih membawa kebaikan. Sepatutnya STPM dirangka sebaik mungkin sebagai asas memasuki pengajian peringkat ijazah sarjana muda di universiti.

Saya berpandangan, struktur pengajian ijazah sarjana muda di universiti perlu dilihat semula. Tempoh empat tahun adalah lebih wajar bagi kebanyakan kursus berbanding tiga tahun.

Kualiti dan penerokaan ilmu sebenar perlu dijadikan asas dan matlamat utama dalam apa juga perubahan dilakukan. Kuantiti penting tapi kualiti jangan sekali-kali diketepikan. Peperiksaan dan penilaian seperti STPM (dan lain-lain syarat kemasukan seperti matrikulasi dan pusat asasi) perlu benar-benar sesuai dan sebagai pengukur dan penilai kematangan, bukan sekadar syarat dan lari daripada sepatutnya.

Semua pihak terlibat mesti melihat tempoh masa empat tahun pengajian ijazah sarjana muda sebagai penting dalam membina asas ilmu bagi masa depan dan kematangan ilmu. Asas yang lemah di peringkat sarjana muda memberikan kesan buruk yang panjang.

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×