WALAUPUN sektor ekonomi belum pulih sepenuhnya, tetapi sudah mulai berkembang berbanding dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19. Malah sejak empat atau lima bulan kebelakangan ini, sektor ekonomi sudah boleh beroperasi walaupun tidak sepenuhnya.
Keadaan ini memperlihatkan pelan pemulihan ekonomi yang digerakkan oleh kerajaan berjalan dengan baik. Malah keadaan ini juga menjanjikan suatu yang lebih baik dalam sektor pekerjaan yang terjejas teruk sejak dua tahun lalu.
Semua ini wajar dinikmati secara bersama oleh majikan dan juga pekerja. Oleh hal yang demikian, isu tuntutan gaji minimum yang tertangguh agak lama boleh dilaksanakan dengan segera.
Tanpa menafikan kepayahan majikan untuk mengupayakan operasi ketika pandemik, tetapi gaji adalah nyawa pekerja. Malah tuntutan yang dibuat oleh Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) bukan suatu yang di luar kemampuan pihak majikan.
MTUC kelihatan sangat memahami dan toleran dengan keadaan yang melanda negara sekali gus menjejas sektor ekonomi. Maka sikap toleransi ini perlu diberi perhatian.
Ini pembuktian hubungan timbal balik antara majikan dan pekerja. Tuntutan MTUC supaya garis gaji minimum daripada RM1,200 dinaikkan menjadi RM1,500 adalah berpatutan.
Ini dilihat daripada beban kos sara hidup yang terpaksa ditanggung pekerja terutama di bandar besar. Tuntutan ini perlu dilihat dengan penuh hemah untuk membantu meringankan beban golongan pekerja.
GERGASI
Garis miskin bandar di Kuala Lumpur ialah isi rumah yang berpendapatan RM2,200 atau ke bawah. Kalau kurang separuh daripada itu, dikelaskan sebagai miskin tegar. Maka kalau ketua isi rumah hanya mendapat upah RM1,200 sebulan, sudah tentu berada dalam kelas miskin tegar.
Pihak majikan perlu mengiktiraf sumbangan semua lapisan pekerja termasuk peringkat paling bawah. Mereka ini adalah kunci keberkesanan operasi sesebuah syarikat.
Masing-masing mempunyai peranan tersendiri di mana semuanya menyumbang pada pendapatan majikan.
Memang benar urusan membasmi kemiskinan bukan tugas hakiki pihak majikan. Walaupun begitu, golongan pekerja tidak kira apa kelasnya adalah ekosistem pada pembangunan ekonomi. Maka ekosistem ini secara tidak langsung juga menjadi tanggungjawab majikan yang mendapat imbuhan daripada kegiatan ekonomi tersebut.
Majikan terutama yang berskala besar atau gergasi perlu memikul tanggungjawab sosial terhadap masyarakat. Antaranya mestilah menyumbang pada kestabilan sosioekonomi terutama golongan marginal. Caranya dengan meningkatkan upah pada kadar lebih munasabah.
Menurut International Institute for Environment and Development (IIED), iaitu sebuah badan kajian dasar bebas, kemiskinan akan menghalang manusia daripada mendapat kualiti kediaman yang selesa, sistem sanitasi terurus, akses kesihatan dan pendidikan sepatutnya.
JUAL MAHAL
Maka semua pihak mesti berusaha untuk mengeluarkan golongan marginal daripada permasalahan tersebut. Salah satu yang boleh dilakukan ialah meningkatkan kadar upah lebih munasabah dengan kos sara hidup semasa.
Walaupun mustahil untuk peningkatan upah hingga melepasi garis minimum miskin bandar atau miskin tegar, setidak-tidaknya menaikkan garis gaji minimum sedia ada.
Harus difahami, ini bukan tuntutan kenaikan gaji melibatkan semua lapisan pekerja. Ini hanya meminta dinaikkan garis gaji minimum lebih kurang RM300 sebulan untuk yang bergaji paling minimum. Tentu sahaja tidak semua pekerja dalam sesebuah syarikat terlibat dengan kenaikan garis gaji minimum ini.
Pada masa sama, dalam keadaan permintaan pasaran kerja yang tinggi, tentulah tidak adil kalau pihak majikan ‘jual mahal’ untuk tidak mahu melayan tuntutan berkenaan.
Hubungan antara majikan dengan pekerja harus dimurnikan dengan kesepakatan upah yang dipersetujui bersama.
Tambahan pula tuntutan MTUC itu bukanah suatu yang membebankan majikan, malah menaikkan garis gaji minimum sebanyak RM300 tidak akan menjejaskan kewangan syarikat berskala besar.
Untuk industri kecil dan sederhana (IKS) perlu dibolehkan untuk terus kekal dengan garis gaji minimum sedia ada hingga suatu ketika yang diputuskan oleh Kementerian Sumber Manusia. Ini akan lebih adil kepada IKS yang skala perniagaannya jauh lebih kecil berbanding syarikat gergasi.
Dalam soal ini, Kementerian Sumber Manusia mesti proaktif untuk melihat perbezaan antara syarikat besar dengan IKS. Dengan kuasa yang ada, sudah tentu boleh sahaja dilaksanakan dengan segera garis gaji minimum di syarikat besar. Definisi syarikat besar dan IKS boleh ditentukan oleh Kementerian Sumber Manusia.
Sebenarnya dengan pendapatan isi rumah RM1,500 sebulan agak mustahil mencukupi walaupun tinggal di luar bandar. Apatah lagi kalau lebih rendah daripada itu. Kos sara hidup meningkat dengan pantas walaupun wujud perbezaan antara luar bandar dengan bandar besar.
KAPITALIS
Kementerian Sumber Manusia juga perlu cepat menangkap helah sesetengah majikan yang sengaja tidak mahu melaksanakan garis gaji minimum. Majikan sebenarnya mempunyai pilihan, sekiranya pekerja tempatan menolak garis gaji minimum sedia ada, mereka boleh mengambil pekerja asing.
Bagi pekerja asing, kadar gaji minimum sedia ada sudah dianggap tinggi kerana perbezaan nilai tukaran mata wang. Misalnya pekerja dari Bangladesh atau Myanmar, nilai RM1,200 adalah tinggi dalam pertukaran ke mata wang tempatan mereka. Mereka bekerja dalam kos sara hidup negara asal.
Pada masa sama memang ada majikan IKS benar-benar tidak mampu membayar gaji yang lebih terutama selepas pandemik. Operasi perniagaan perlu distruktur semula termasuk tidak memberi kenaikan gaji dan ada yang terpaksa diberhentikan.
Maka perlu ada kelonggaran kepada IKS untuk kekal pada garis gaji minimum sedia ada hingga suatu masa sesuai. Tetapi tidak dapat dinafikan wujud majikan berperangai kapitalis yang mengambil kesempatan daripada keadaan ekonomi kelam kabut ini. Selain mengurangkan jumlah pekerja, mereka juga mengeksploitasi dengan mewujudkan kaedah kerja di pelbagai bidang (multitasking) dengan gaji yang rendah.
Kementerian Sumber manusia perlu melihat semua kemungkinan ini untuk memberi keadilan kepada majikan dan pekerja. Semua ini bukanlah pendekatan yang tidak adil kepada majikan sebaliknya untuk mewujudkan keadaan harmoni dan hubungan timbal balik antara majikan dan pekerja. Kedua-duanya sewajarnya saling memerlukan antara satu dengan lain.
PENULIS ialah Editor Kuseman.com.










