Nelayan C2 Tumpat, Tok Bali kecewa dibiar sengsara - Utusan Malaysia

Nelayan C2 Tumpat, Tok Bali kecewa dibiar sengsara

SEBAHAGIAN bot laut dalam yang tersadai di pesisir Terusan Semerak di Tok Bali, Pasir Puteh semalam. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pengusaha bot C2 sekitar Tumpat dan Tok Bali di negeri ini mengibaratkan mereka dibiar sengsara berterusan apabila masalah nelayan warga asing belum selesai kini terpaksa pula menanggung kenaikan harga diesel.

Mereka mendakwa sebelum kenaikan harga diesel, bot mereka sudah lama tersadai kerana ketiadaan tenaga kerja nelayan warga asing.

Pengusaha bot laut dalam di Tumpat, Nazori Yusof, 58, berkata, ketika masalah pekerja asing belum selesai kini, mereka diuji pula dengan kenaikan harga bahan bakar dari RM2.05 seliter kepada RM2.70 seliter.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dengan harga diesel lama, dalam tempoh dua hingga tiga minggu, sebuah bot memerlukan sekurang-kurangnya 10,000 liter diesel tanpa subsidi. Kosnya mencecah RM20,500.

“Sekarang dengan harga baharu RM2.70 kami terpaksa membelanjakan RM27,000 untuk mengoperasi sebuah bot. Itu pun kalau dikira secara kasar dengan harga tersebut yang diisytiharkan kerajaan.

“Masalahnya, kami bukan boleh bawa bot ke stesen minyak untuk mengisi diesel. Tempat kami adalah jeti-jeti berlesen atau jeti persatuan nelayan yang memaksa kami bayar kos tambahan,” katanya di sini semalam.

Nazori berkata, modal diperlukan untuk satu kelam (tempoh berada di laut 14 hingga 21 hari) meningkat RM216,000 bagi tujuh hingga lapan bot laut dalam, tidak termasuk kos makan minum bagi tempoh tersebut

“Sebelum ini, sebanyak 30 bot C2 dan C di kawasan Tumpat tersadai kerana sukar mendapatkan tenaga pekerja selepas nelayan asing gagal kembali. Sekarang, bilangannya mungkin bertambah akibat kenaikan harga diesel,” katanya.

Pengusaha bot laut dalam di Tok Bali, Ismail Zakaria, 50, pula berkata, subsidi amat diperlukan bagi memastikan baki enam bot laut dalam syarikat perkongsian miliknya dapat terus beroperasi, selepas lima daripadanya tersadai sejak pandemik melanda.

“Enam bot yang masih beroperasi ini perlu menanggung kos diesel sebanyak RM123,000 tidak termasuk bebanan kos makan-minum 30 awak-awak,” ujarnya.

Ismail berkata, pengusaha bot C2 satu ketika dahulu pernah menikmati subsidi diesel pada harga RM1.65 namun dihentikan kononnya pengusaha mampu menampung kos tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×