Hati-hati bual bicara pasal rogol - Utusan Malaysia

Hati-hati bual bicara pasal rogol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA ragu-ragu lagi, Perlembagaan Persekutuan menjamin hak rakyat untuk bersuara, mengeluarkan pendapat, berdiskusi, mengadakan bual bicara, malahan mengadakan program santai, bersembang dan berborak dengan sahabat handai, sama ada bersemuka atau di talian.

Bagaimanapun, perlu diingat, kebebasan di bawah Perkara 10 ini bukan mutlak, sebaliknya boleh disekat.

Mengikut Fasal (2), kebebasan ini boleh disekat bagi memelihara kepentingan keselamatan negara, ketenteraman awam dan moraliti. Selain itu, kebebasan bersuara ini juga tertakluk kepada undang-undang menghina mahkamah, fitnah dan hasutan.

Baru-baru ini, tular dalam media cerita tentang beberapa individu (sewaktu menyertai satu program santai di televisyen swasta) membicarakan isu rogol, seolah-olahnya jenayah ini adalah satu jenaka, sesuai dijadikan bahan hiburan untuk tontonan orang awam.

Sementara kita tangguh dahulu persoalan sama ada perbuatan mereka itu menyalahi undang-undang atau moraliti seperti disebutkan dalam Perkara 10 Fasal (2) tadi, yang sudah pasti perbuatan individu tersebut tidak sensitif kepada emosi serta maruah golongan Hawa di negara ini.

Pada 22 Oktober lalu, akhbar ini memetik jurucakap sebuah parti politik yang menyelar kejadian tersebut dan meminta mereka yang menyertai program itu membuat pernyataan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

Menteri Belia Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut terpanggil mengulas perkara ini. Menurut beliau, rogol bukan bahan jenaka dan tidak harus diberi toleransi dalam apa jua keadaan sekali pun.

Khamis lalu, ratu terjun negara, Datuk Pandalela Rinong membuat satu hantaran mendakwa seorang bekas jurulatih gemar membuat jenaka lucah sebelum individu tersebut berdepan isu rogol yang melibatkan seorang atlet beberapa tahun lepas.

Pada April lalu, seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun (bernama Ain Husniza) memberitahu ayahnya mengenai perbuatan seorang guru di sekolahnya yang membuat jenaka tentang rogol. Apabila dia memaklumkan perkara itu kepada guru kaunseling, guru kaunseling memohon maaf kepadanya bagi pihak guru berkenaan, tapi berkata adalah suatu perkara yang ‘biasa’ (normal) bagi pelajar-pelajar lelaki berjenaka tentang rogol.

Guru yang berjenaka mengenai rogol itu kemudian dipindahkan ke tempat lain sementara menunggu kes disiasat oleh polis. Berikutnya, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed menyatakan, kertas siasatan telah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. Tiada berita susulan selepas itu mengenai apa-apa prosiding jenayah terhadap guru tersebut.

Menyelar perbuatan guru lelaki di sekolah itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita, All Women’s Action Society (AWAM) berkata, perbuatan guru menjadikan rogol sebagai bahan jenaka tidak boleh diterima (ditoleransi) sama sekali.

Pada Ogos lalu, pelajar tersebut serta ayahnya telah menerima satu surat tuntutan daripada firma peguam memintanya membayar RM1 juta sebagai ganti rugi memfitnah guru berkenaan. Kedua-dua mereka diberi tempoh tujuh hari untuk memohon maaf dan membayar ganti rugi tersebut.

Beberapa hari kemudian, pelajar tersebut serta ayahnya (diwakili peguam Datuk Sankara Nair) memfailkan tuntutan balas berjumlah RM5 juta sebagai ganti rugi untuk emotional distress terhadap guru berkenaan.

Minggu lalu, satu portal berita melaporkan, satu petisyen bertajuk Sifar Toleransi Terhadap Rogol yang digerakkan oleh AWAM, dua tahun lalu telah diaktifkan semula dan kini mendapat sokongan lebih 600,000 tanda tangan daripada orang awam. AWAM berharap petisyen itu (yang bertanda pagar seperti #HentikanRogol, #EnoughIsEnough dan #RogolBukanJenaka) boleh mendapat sokongan tanda tangan satu juta orang.

Selepas itu, petisyen berkenaan akan diserahkan kepada kerajaan.

UNDANG-UNDANG GANGGUAN SEKSUAL

Dari sudut undang-undang, rogol adalah satu kesalahan jenayah yang serius, boleh membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebat (Seksyen 376 Kanun Keseksaan). Ia bukan bahan jenaka oleh sesiapa pun, sama ada guru di sekolah atau selebriti (demi mencari publisiti atau populariti). Kalau cukup faktanya, jenaka rogol boleh dijadikan asas satu tuntutan berasaskan gangguan seksual.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan memutuskan dalam kes Mohd. Ridzwan Abdul Razak lwn. Asmah Hj. Mohd. Nor bahawa gangguan seksual adalah satu tort (kesalahan sivil) dan jika cukup bukti, boleh dijadikan alasan mendapatkan ganti rugi daripada pemangsa.

Buat masa ini, Malaysia belum ada Akta Gangguan Seksual. Yang ada hanyalah pindaan kepada Akta Pekerjaan 1955 pada 2012 yang mewajibkan setiap majikan menjalankan siasatan ke atas setiap aduan berlakunya gangguan seksual.

Mangsa gangguan seksual boleh jadi lelaki dan boleh jadi perempuan, dan gangguan seksual boleh berlaku secara lisan, tulisan atau tingkah laku.

Selain menjadi satu kesalahan sivil (tort), gangguan seksual juga adalah satu kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574), iaitu di bawah Seksyen 503 (menakutkan secara jenayah) yang membawa hukuman penjara dua hingga tujuh tahun mengikut fakta kes dan di bawah Seksyen 509 (mengaibkan kehormatan seseorang) yang membawa hukuman penjara lima tahun dan denda.

Kejahilan undang-undang bukan satu pembelaan. Oleh itu, berhati-hatilah apabila bual bicara (atau bersembang) tentang rogol. Ia jenayah berat, bukan bahan jenaka atau gurauan.

DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×