MELAKA: Kem bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron ditawarkan ruang perbincangan dengan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) seandainya empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan gagal mendapat tempat atas tiket Pakatan Harapan (PH).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, tawaran itu juga terbuka kepada ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang kini sudah disahkan Majlis Presiden PH tidak akan diangkat sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Jelasnya, meskipun Norhizam gemar menimbulkan kontroversi, Putra tidak menganggap sikap tersebut sebagai halangan, selagi bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka itu tidak terpalit isu moral dan rasuah.
“Saya terbuka jika mereka (empat ADUN) hendak berjumpa, tiada masalah atas dasar sesama Islam. Pada Putra apa sahaja keputusan tertakluk kepada Biro Politik dan Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra.
“Pasal kelakuan Nohizam apa yang hendak sensitif sangat? Dia punya isu ketika berbahas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) keluar perkataan babi, situasi itu turut berlaku di Parlimen.
“Putra tidak akan mempertimbangkan seandainya mereka ada terpalit rasuah, ada kes persepsi moral. Ini memang kita tak terima,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, Majlis Presiden PH membuat keputusan bahawa Norhizam tidak akan dijadikan sebagai calon PH dalam PRN Melaka.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau.
Mengulas jumlah kerusi yang bakal ditandingi Putra, Ibrahim memaklumkan, parti itu menyasarkan sekurang-kurangnya empat DUN yang telah dikenal pasti berpotensi untuk menang.
Bagaimanapun, jelasnya, beliau tidak boleh menamakan kerusi berkenaan kerana perlu menunggu keputusan mahkamah berhubung keabsahan pembubaran DUN Melaka. -UTUSAN










