Mukadimah
Nampaknya, situasi politik yang sebelum ini agak tenang, kembali tegang susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal diadakan November nanti. Tak perlulah diperincikan sejarah kejatuhannya, sebab semua seperti sudah sedia maklum dalangnya.
Cuma yang merisaukan rakyat, PRN itu ibarat menyebarkan wabak perpecahan antara parti-parti mewakili Melayu-Islam dalam Perikatan Nasional (PN), yang mungkin akan melarat sampai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Ia susulan beberapa kenyataan pimpinan tertinggi UMNO, seolah-olah mahu parti bergerak solo. Isyarat ini bukan sahaja jelas meminggirkan Bersatu, malah ada juga kenyataan mengibaratkan hubungan dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) juga seperti sudah tiada cahaya terang.
Soalnya, apa kata Pas selaku rakan yang sama-sama merintis jalan bersama UMNO menyatukan ukhwah, sejak zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah? Adakah Pas ‘terasa hati’ dengan pendirian segelintir pemimpin UMNO? Kalau terasa, apakah itu isyarat bahawa sejarah hitam perpecahan politik Melayu-Islam puluhan tahun antara Pas-UMNO akan kembali menghantui negara?
Mendepani persoalan ini, wartawan Mingguan Malaysia, FAHMI FAIZ menemu bual Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah baru-baru ini. Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, turut mengulas isu air, selain juga isu wiski kontroversi baru-baru ini.
MINGGUAN MALAYSIA: Ada perkembangan menarik sempena muktamar Pas tahun ini?
MOHD. AMAR: Setakat ini tiada isu besar, cuma muktamar ini berbeza sebab berlangsung dalam suasana pandemik. Kalau dulu, kehadiran secara fizikal, tapi kerana pandemik kita ambil pendekatan buat secara hibrid. Sebahagian daripada perwakilan hadir secara fizikal, manakala yang lain hadir secara maya.
Siapa yang hadir secara fizikal, dan siapa yang hadir secara maya?
Kali ini, ahli-ahli Majlis Syura, ulama, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat termasuk Presiden dan Timbalan akan hadir secara fizikal di Duyong Marina Resort di Terengganu, kemudian perwakilan dari tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang juga akan hadir secara fizikal. Negeri-negeri lain semua hadir secara maya.
SATUKAN DUA KOLAM BERBEZA
Apa reaksi Pas berhubung kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang seolah-olah menolak Muafakat Nasional (MN), melalui gambaran bahawa MN tak didaftarkan dan tak nampak cahaya terang dalam MN?
Kalau tanya saya secara peribadi, memang kita terkejut dengan kenyataan beliau. Sebab bagi kami, MN ini masih wujud walaupun tak didaftarkan. Malah dalam keputusan kita di peringkat parti, Pas komited akan mempertahankan MN ini. Sebab jalan untuk sampai kepada penyatuan ini adalah satu yang mencabar dan sukar. Jadi bila kita boleh duduk bersama, ini satu nikmat besar yang tidak sepatutnya kita sia-siakan. Jadi, itu pendirian kita.
Ada mendakwa, Pas main ‘dua kolam’?
Ada orang yang tidak faham, mereka tuduh kita main dua kolam. Sebenarnya kita cuba menyatukan dua kolam yang berbeza iaitu UMNO dan Bersatu, supaya air dari kedua-dua kolam ini boleh dimanfaatkan untuk rakyat Malaysia. UMNO pun ada Barisan Nasional (BN), mereka juga ada MN. Jadi itu pandangan kita. Sebab pada kita, kalau kita boleh bekerjasama antara tiga parti ini, insya-Allah kita boleh mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya akan datang.
Besar macam mana?
Insya-Allah, paling kurang pun dua pertiga kerusi Parlimen dalam PRU-15.
Apa usaha Pas menyatukan UMNO dengan Bersatu?
Bagi kita, Pas dengan UMNO ini sudah duduk semeja dah, kita memang sudah bekerjasama. Kalau tanya saya, pandangan Presiden UMNO terhadap MN itu tidak mencerminkan pandangan majoriti pimpinan dan juga ahli UMNO lain. Sebab itu, saya minta kalau boleh pandangan ini disemak kembali dan dibincangkan secara halus oleh kalangan pemimpin UMNO lain. Sebab yang kita dengar di luar ini, tak sama dengan apa yang disebut oleh beliau.
Dengar di luar ini, dengar dari siapa?
Itu kita dengar daripada kawan-kawan kita dalam UMNO, sama ada pimpinan mahupun di peringkat ahli pun, tak sama dengan suara Presiden UMNO.
SECAWAN TEH TARIK MASIH TAK CUKUP
Jika UMNO bersama PN dalam PRN Melaka, betulkah Pas mahu lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka, dan Bersatu mahu lapan?
Setakat ini, itulah sasaran kita tapi ia belum dimuktamadkan. Pas telah kenal pasti sekurang-kurangnya enam kerusi yang kita lihat ada potensi untuk menang. Tapi jumlah sebenarnya bergantung kepada perbincangan. Bersatu pula, katalah kalau kita ambil enam kerusi, yang lain itu Bersatu ambil, ini kalau PN bergerak sendiri tanpa UMNO. Tapi saya rasa tak akan jadi macam itu (UMNO bertembung dengan PN). Kita harap tak akan jadi macam itu.
Wajarkah tindakan PN buat gerak kerja pilihan raya di Melaka tanpa UMNO, mengambil kira keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu bergerak tanpa UMNO?
Perbincangan masih boleh berjalan antara UMNO dengan rakan lain dalam PN, tiada masalah. Cuma dari segi gerak kerja, kita tak boleh tunggu saat akhir. Keputusan untuk meletakkan calon, itu bolehlah buat saat akhir, tapi hari ini, kerja-kerja asas pilihan raya mestilah sudah bermula dan sudah dilakukan. Sebab itulah dilancarkan jentera PN baru-baru ini. Pandangan saya, teorinya mudah. UMNO menang 14 kerusi di Melaka. Katalah contohnya, UMNO setuju kekalkan 14 kerusi ini, yang baki 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu berilah kepada PN pula. Jadi selesailah masalahnya. Formulanya mudah sangat. UMNO, kalau mereka betul-betul mahu, maka boleh fokus kepada 14 kerusi DUN itu, sebab keseluruhan kerusi DUN Melaka ada 28, jadi baki 14 yang lain itu agihkan kepada rakan dalam PN.
UMNO setuju dengan formula ini?
Setakat ini belum ada keputusan muktamad. Tapi beberapa pimpinan UMNO di Melaka menunjukkan sikap positif, tapi pimpinan tertinggi termasuk pimpinan dalam Badan Perhubungan UMNO Melaka dan juga UMNO Pusat, belum lagi jelaskan pendirian.
Ini walaupun beberapa pemimpin UMNO sudah minum teh tarik dengan pimpinan Pas baru-baru ini?
Secawan teh tarik memang masih tak cukup buat masa ini.
Apa formula elak PH tak berkuasa kembali di Melaka?
Macam disebut tadi, pertama kita kena elak pertembungan tiga penjuru, dan kedua supaya UMNO pertimbangan cadangan untuk bertolak ansur dalam isu ini. Sebab kita tengok sebelum ini dalam pilihan raya lepas, UMNO bertanding di hampir semua kerusi DUN di Melaka, namun hanya menang 14 kerusi saja. Jadi kalau mereka lihat kepada senario lebih jauh dalam konteks semasa, mereka boleh fokus kepada 14 kerusi. Kecuali kalaulah UMNO mahu jadi kerajaan secara solo, jadi itu cerita lainlah. Jadi memang kita minta begitulah, agar UMNO boleh bertolak ansur supaya elak pertembungan tiga penjuru, itulah hasrat kita.
PRU-15
Macam mana pula dengan PRU-15? Berapa sasaran kerusi Pas?
Hasrat kita seboleh-bolehnya tidak bertembung, sebab sekarang kita ada MN dan PN. Itulah yang kita sedang usahakan. Cuma sasaran kita mungkin antara 50 hingga 60 kerusi, itupun bergantung kepada keadaan ketika itu nanti. Cuma setiap parti (dalam PN) ini memang ada jangkaan masing-masing, jadi kita kena selaraskan semua itu supaya kita tak bertembung. Tapi kalau katalah kita mahu sampai 70 kerusi, maka memang kita akan bertembung nanti. UMNO contohnya, kalau mereka mahu bertanding sampai 90 kerusi, memang akan bertembunglah. Jadi kita semua kena selaraskan, dan setiap parti ini sepatutnya menyatakan angka yang munasabah.
POLITIK KELANTAN
Macam mana prestasi Parti Amanah Negara (Amanah) di Kelantan, yang sekarang menggunakan isu-isu politik pusat serta isu air Kelantan untuk menghentam Pas?
Saya melihat di Kelantan ini, Amanah ini hampir tidak ada. Adalah seorang dua yang suka buat kenyataan, buat provokasi, tapi Amanah sebagai sebuah organisasi, kita tak nampak pergerakan mereka, program dan seumpamanya.
Betulkah bekas Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa sekarang ada masalah dengan parti itu di Kelantan dan di pusat?
Dia sekarang ini memang ada masalah dengan Amanah di Kelantan. Ada saya dengar cerita, kemungkinan beliau akan keluar daripada Amanah. Dia tak masuk Pas, tapi ada parti lain pilihan dia sendiri. Dan bila beliau tinggalkan Amanah, maka Amanah yang sudah sedia lemah akan menjadi semakin lemah.
JUDI
Apa pendirian Pas terhadap isu pertambahan cabutan khas judi daripada lapan kali setahun kepada 22 kali?
Pendirian kita jelas, dalam bab ini memang kita tak setuju. Sebab itulah Pas melalui Dewan Ulama dan Pemuda menyatakan pendirian dan kenyataan tak bersetuju. Begitu juga dengan ahli Parlimen kita dalam Dewan Rakyat, telah menyuarakan pendirian. Malah kita sendiri pun dalam kerajaan, melalui Menteri dan Timbalan Menteri kita telah menyuarakan pendirian kita. Jadi sebab itulah kita harap, agar kerajaan boleh membuat pertimbangan semula berhubung keputusan dalam bab judi ini.
Siapa yang buat keputusan ini?
Saya difahamkan bahawa keputusan ini dibuat oleh Kementerian Kewangan (MOF) saja dan tidak dibawa ke Kabinet. Sebab itu dalam bidang kuasa MOF. Jadi sebab itu kita mohon agar perkara ini diberikan pertimbangan semula.
Apa peranan yang boleh dimainkan untuk semak semula keputusan berhubung isu judi ini, berbanding hanya mengeluarkan kenyataan?
Kita boleh membangkang, tapi oleh kerana dari segi bidang kuasa, ia di bawah MOF, jadi kita mahu buat macam mana, bukan? Kalau dalam bidang kuasa menteri kita, mungkin lain cerita. Cuma kita nyatakan bantahan itu, secara peribadi dan kita mohon agar pihak kementerian menilai semula keputusan ini.
ARAK ‘TIMAH’
Apa reaksi Pas berhubung isu arak tempatan jenama ‘Timah’, yang menggunakan gambar lelaki seakan-akan berkopiah, adakah ia kebetulan, provokasi atau bagaimana?
Saya fikir ini bukan provokasi sebab kita tengok pengeluarannya sudah lama, cuma baru menjadi isu dalam beberapa hari ini. Kalau tanya pandangan peribadi saya, saya rasa nama ‘Timah’ itu tidak sesuai. Walaupun ia merujuk kepada bijih timah seperti yang diterangkan pengeluar, tapi ia menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.
Kekeliruan macam mana?
Sebab bagi kita orang Melayu dan Islam ini, nama ‘Timah’ itu biasanya nama orang, bukan bijih timah. Jadi bila sebut ‘Timah’ itu, saya pun masa mula-mula tengok, saya ingat dia merujuk kepada nama Fatimah. Bila kita baca penjelasan pengeluar, baru kita tahu bahawa ‘Timah’ itu merujuk kepada bijih timah. Jadi sebab itulah Mufti Pulau Pinang meminta supaya benda ini diubah, sebab ia menyentuh sensitiviti umat Islam.
Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) sudah keluarkan empat cadangan bagi meleraikan polemik arak ‘Timah’ ini, jadi adakah cadangan itu bersifat menyeluruh, atau mungkin mahu tambah agar pengeluar menjenamakan semula wiski mereka kepada jenama lain?
Memang pandangan kitalah, kalau boleh dijenamakan semula, lagi baik. Sebab ia menyentuh sensitiviti. Negara kita ini majoritinya orang Islam, jadi sepatutnya pengeluar arak tersebut mengambil kira sensitiviti ini. Lagi pula, gambar logonya mengambil gambar seorang lelaki yang umpama berkopiah. Walaupun itu pakaian Arab, tapi bagi kita di Malaysia, tutup kepala ini kopiah. Jadi memang mengelirukan.
AIR KELANTAN
Apa masalah utama yang menyekat pembangunan sistem pengairan di Kelantan?
Masalah kita sebelum ini ialah dana. Kita kekurangan dana, Kerajaan Persekutuan dulu banyak menghalang perancangan kita. Untuk pengetahun, pada lima tahun lepas, kita punya unjuran, kita memerlukan lebih kurang RM2 bilion untuk menyelesaikan isu air di Kelantan. Jadi sekarang ini, mungkin meningkat. Jadi sebab itu kita harap, kalau Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) boleh meluluskan peruntukan segera dan mengikut jadual, insya-Allah kita boleh selesaikan.
Baru-baru ini, Datuk sebut isu air Kelantan akibat masalah dana apabila peruntukan RM600 juta yang disalurkan kerajaan Pusat ‘tak dipegang’ kerajaan negeri. Ini berlaku zaman bila, dan apa cerita sebenarnya?
Masa itu Tun Daim Zainuddin jadi menteri kewangan (1984-1991). Jadi masa itu, Kerajaan Persekutuan hasil daripada pertemuan Allahyarham bekas Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, telah meluluskan RM600 juta pada waktu itu untuk meningkatkan bekalan air. Tapi duit itu tidak diberikan kepada kerajaan negeri. Bila syarikat air Kelantan waktu itu mengangkat senarai nama kontraktor untuk membina loji dan seumpamanya, senarai itu tidak diterima oleh Kerajaan Persekutuan, sebaliknya mereka memilih kontraktor mereka sendiri.
Ini isu yang saya kena cerita. Apabila kontraktor ini sudah membuat kerja mereka, maka syarikat air Kelantan ini hanya menghantar laporan, dan menghantar tuntutan itu kepada Kerajaan Persekutuan. Dan Kerajaan Persekutuan pada waktu itu hanya memasukkan dalam akaun, dan kita terus bayar.
Itu maksudnya duit itu tak pernah ada dengan kita. Bukan kata mereka luluskan RM600 juta itu, dan wang itu dihantar kepada kerajaan negeri, tidak. Mereka luluskan hanya angka saja, tapi duit itu dipegang oleh Kementerian Kewangan waktu itu. Bila ada tuntutan saja daripada kontraktor, maka barulah dibayar melalui syarikat air Kelantan. Jadi itu ceritanya, dan banyak orang tak tahu, sebab itu ada yang persoalkan di mana duit peruntukan, sedangkan duit itu kita tak pernah pegang.
PENCEROBOHAN TANAH
Berhubung isu pencerobohan tanah di Hutan Simpan Ulu Galas dekat Gua Musang yang terbongkar baru-baru ini, adakah kerajaan negeri memang tak tahu menahu ada pencerobohan sebelum ini?
Maklumat yang terperinci, saya tiada sebab laporan-laporan biasanya Jabatan Perhutanan Negeri akan hantar terus kepada Pejabat menteri Besar Kelantan. Tidak ada pada saya. Cuma berdasarkan kes-kes lepas, pencerobohan hutan ini susah untuk kita ketahui.
Kenapa?
Pertama sebab pencerobohan ini berlaku di tengah-tengah hutan. Jadi, kadang-kadang kita tidak sedar, di keliling kawasan itu memang hutan, tapi di tengah-tengahnya ada orang tanam getah dan sebagainya. Jadi kalau tiada laporan, memang sukar. Bukan kata kita tak tahu langsung, tapi sukar (mengesan pencerobohan). Malah adakala kita jumpa, pencerobohan ini yang ditanam dengan pokok-pokok kontan, orang tiada, tapi kita jumpa tumbuhan saja.
Macam kes tanaman durian atas tanah haram baru-baru ini, saya dengar di kawasan itu sudah tiada kayu balak, ia sudah dikeluarkan lama. Jadi mereka ambil kesempatan, bila balak sudah ditebang dan tanah jadi kosong, peneroka haram ini tanam pokok durian senyap-senyap. Ini bukan kes curi balak, sebab lesen pembalakan sudah diluluskan sebelum itu. Jadi sepatutnya lepas tebang pokok, biarkan lah kawasan itu sebegitu agar hutan tumbuh semula secara semula jadi. Tapi peneroka ini, mereka ambil kesempatan. Bila tanah itu kosong, masa itulah mereka masuk menanam. – Mingguan Malaysia










