GUA MUSANG: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri 17 Ogos ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Perkara tersebut diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Nenggiri, Nik Raisnan Daud di pekarangan Pusat Penamaan Calon PRK Dun Nenggiri, Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang di sini hari ini.
Terdahulu Nik Raisnan memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima dua borang selepas proses penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi.
Nik Raisnan berkata, pda PRK itu nanti BN akan diwakili oleh Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani sementara Perikatan Nasional (PN) menamakan Mohd. Rizwadi Ismail sebagai calon.
“Setelah disemak, saya puas hati dan umumkan tiada yang ditolak kertas penamaannya,” katanya.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.
Sebelum itu, pada 19 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas penyandangnya, Mohd. Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun.
Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) lalu, calon PN dari Bersatu, Mohd. Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab. Aziz Yusoff.- UTUSAN










