GUA MUSANG: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim melantik peguam bagi mencabar keputusan Speaker DUN Kelantan berhubung pengosongan kerusi tersebut.
Mohd. Azizi berkata, peguamnya akan memfailkan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Ahad ini.
“Saya yakin sistem keadilan dan peruntukan undang-undang negara kita adalah yang terbaik. Cabar di mahkamah itu akan memberi keadilan kepada saya selaku wakil rakyat yang telah dipilih oleh majoriti pengundi DUN Nenggiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15, 12 Ogos tahun lalu.
“Saya menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan barisan pasukan peguam untuk mengendalikan kes tersebut. Paling utama, saya yakin kepada qadak dan qadar Allah SWT yang memberi amanah kepada saya untuk memimpin DUN Nenggiri pada penggal ini,” katanya.
Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah baru-baru ini mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong bermula Rabu lalu.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima satu notis bertulis daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu. – UTUSAN










