KUALA TERENGGANU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat menganggap kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Nenggiri sebagai satu lonjakan besar.
Beliau berkata, kemenangan Mohd. Azmawi Fikri dengan majoriti 3,352 undi merupakan pencapaian luar biasa setelah mengalami kekalahan dengan majoriti 810 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Menurutnya, kemenangan kali ini membuktikan usaha gigih, kesungguhan dan perubahan strategi telah membuahkan hasil yang luar biasa.
“Alhamdulillah, syukur. Tahniah yang setinggi-tingginya diucapkan kepada saudara Azmawi Fikri, atas kemenangan yang amat bermakna ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Dalam PRK itu, Mohd Azmawi Fikri memperolehi 9,091 undi manakala Mohd. Rizwadi Ismail yang mewakili Perikatan Nasional (PN) menggunakan logo Pas pula mendapat 5,739 undi.
Pada masa sama, Rozi berkata, UMNO Terengganu ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi BN, Datul Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kepimpinan BN, Perhubungan UMNO Negeri Kelantan dan semua petugas parti yang telah berjuang siang dan malam tanpa kenal penat lelah, serta para penyokong yang sentiasa teguh berdiri bersama BN.
“Ucapan penghargaan juga khas buat petugas BN Terengganu yang menjaga Pusat Daerah Mengundi Renok dan PDM Perasu, tahniah dan terima kasih di atas usaha gigih mengembalikan kemenangan BN di kedua-dua PDM ini,.
“Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada para pengundi di DUN Nenggiri yang telah kembali memberi kepercayaan kepada BN.
“Ini adalah kemenangan bersama, dan marilah kita terus melangkah dengan lebih kuat dan bersatu demi masa depan yang lebih gemilang,” ujarnya. – UTUSAN










