KANGAR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan menarik balik pemakluman keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di tiga kerusi DUN Perlis.
Bagaimanapun, tiga kerusi berkenaan iaitu Chuping, Bintong dan Guar Sanji tetap dikosongkan selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebut terhenti keahlian Pas.
Katanya, penarikan semula itu dibuat menerusi surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), semalam.
Menurutnya, ia dibuat selepas membuat pertimbangan semula berhubung perkara itu berdasarkan perkembangan mutakhir apabila Pas menetapkan keberadaan dalam kerajaan negeri selaras mandat Pilihan Raya Umum Ke-15.
“Kenyataan Menteri Besar turut menyatakan jaminan untuk meneruskan agenda Perikatan Nasional (PN) yang pada masa kini masih memiliki majoriti besar di DUN Perlis.
“Maka saya mendapati majoriti DUN Perlis tidak terjejas dengan tiga kekosongan luar jangka tersebut, justeru tiada keperluan diadakan pilihan raya semula,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Seri Putra di sini semalam.
Khamis lalu, Rus’sele mengumumkan kekosongan luar jangka di kerusi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji selepas ADUN tersebut terhenti keahlian Pas susulan tindakan mereka bersama lima ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menandantangani akuan bersumpah menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri Ramli selaku Menteri Besar.
“Keputusan terbaru ini juga sebagai menjunjung titah Raja Perlis agar semua ADUN PN kembali bersatu dan bekerjasama sebagai satu parti demi kepentingan negeri,” katanya.
Beliau juga menyembah maklum kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkaitan perkembangan terbaru itu semalam. – UTUSAN










