KOTA KINABALU: Parti Warisan mempertaruhkan Mazliwati Abdul Malek dan Datuk Saddi Abdu Rahman sebagai calon parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan kerusi Parlimen Kinabatangan.
Timbalan Presiden Parti Warisan, Datuk Darell Leiking berkata, keputusan mencalonkan kedua-dua pemimpin berkenaan dibuat selepas melalui proses perundingan bersama Bahagian Warisan Kinabatangan.
Menurutnya, Mazliwati dan Saddi merupakan pemimpin berpengalaman yang memahami keperluan serta aspirasi rakyat di kawasan berkenaan.
“Keupayaan membincangkan isu-isu berkaitan sistem pentadbiran negeri diyakini mampu menjadikan Mazliwati sebagai suara berkesan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Lamag di Dewan Undangan Negeri sekiranya diberi mandat.
“Manakala pengalaman Saddi selama 12 tahun sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dijangka membolehkan beliau menggunakan Dewan Rakyat sebagai platform untuk memperjuangkan hak-hak Sabah di peringkat Persekutuan, selain membawa suara rakyat Kinabatangan secara tegas, berintegriti dan konsisten,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Darell menegaskan, penyertaan Warisan dalam PRK DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan berlandaskan pendirian yang teguh terhadap prinsip perjuangan parti, termasuk komitmen untuk menyelamatkan Sabah serta menyediakan hala tuju politik yang jelas, konsisten dan berpaksikan mandat rakyat.
Beliau berkata, Warisan kekal komited terhadap agenda utamanya di Sabah, antaranya mempertahankan hak dan autonomi negeri, memperkukuh ekonomi tempatan dan kesejahteraan rakyat, mengamalkan tadbir urus yang bersih dan telus, serta membina masa depan yang adil, inklusif dan mampan untuk semua rakyat Sabah.
“PRK Lamag dan Kinabatangan bukan sekadar pertandingan politik, sebaliknya mencerminkan soal prinsip, kepemimpinan dan hala tuju parti yang bertanding. Warisan tidak pernah berkompromi dengan perjuangannya dan kedua-dua calon yang dipilih mencerminkan komitmen tersebut terhadap Sabah,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua kerusi berkenaan pada 10 Januari ini manakala hari pengundian ditetapkan pada 24 Januari 2026. – UTUSAN










