Ketepikan perselisihan lampau - Utusan Malaysia

Ketepikan perselisihan lampau

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pas berharap UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dapat berlapang dada serta melupakan segala perselisihan lampau demi matlamat yang lebih besar iaitu membentuk perpaduan sebelum memasuki gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, bagi mencapai semangat perpaduan itu sememangnya memerlukan pengorbanan dan tidak mustahil dapat direalisasikan.

Katanya, kerjasama Pas, UMNO dalam Barisan Nasional (BN) dan Bersatu mengharungi PRN Melaka bakal menguji sejauh mana kekuatan serta peluang mereka mencapai kemena­ngan lebih selesa sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Jelasnya, pertembungan satu lawan satu memberi kelebihan besar kepada Perikatan Nasional (PN) dan UMNO sekali gus menjadi penanda aras kepada gabungan parti-parti Melayu Islam itu menjelang PRU-15.

“Saya rasa masih ada peluang untuk UMNO berfikir sedalam-dalamnya untuk tidak menolak penyatuan ummah ini. Saya harap sahabat-sahabat kita dalam UMNO dan Bersatu melupakan selisih faham lampau walaupun seberat mana sekali pun.

“Fokus kepada matlamat lebih besar iaitu penyatuan ummah dengan ketepikan perkara-perkara yang boleh merosakkan perpaduan. Saya percaya kepemimpinan kedua-dua parti tersebut boleh berlapang dada serta melakukan sedikit pengorbanan demi penyatuan ummah ini,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, BN dan PN perlu menggunakan kaedah perun­dingan yang inklusif jika tidak mahu ‘berputih mata’ melihat Ketua Menteri kedua Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah di Melaka.

Hakikatnya, pertembungan tiga penjuru atau lebih, tetap menguntungkan Pakatan Harapan (PH) tanpa perlu berasa risau undi mereka berpecah terutama di kawasan bandar.

Dalam masa sama, UMNO turut memberi bayangan BN tidak akan bersendirian dalam mengharungi PRN Melaka.

Meskipun tidak menyatakan secara jelas, Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, pelbagai pihak telah tampil menyatakan hasrat bekerjasama dan parti itu sentiasa berfikiran terbuka.

Tambah Hashim, dasar Pas tidak pernah berubah untuk te­rus mempertahankan penyatuan ummah itu.

Ditanya mengenai jumlah kerusi yang bakal ditandingi Pas dalam PRN Melaka, Hashim memberitahu, perkara tersebut bukan menjadi keutamaan Pas. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×