Berjayakah kempen antimerokok? - Utusan Malaysia

Berjayakah kempen antimerokok?

TINDAKAN pelanggan yang tidak menghiraukan perintah larangan menghisap rokok di kedai makan mengganggu ketenteraman dan keselesaan pelanggan lain terutama yang tidak merokok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mulai 1 Januari 2020 Malaysia melaksanakan larangan menghisap rokok dan vape di semua premis makan atau restoran. Perintah itu di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

Namun, sejak diberi kebenaran untuk dine in di restoran baru-baru ini, peraturan itu sudah dilupakan oleh sebilangan perokok.

Mereka tidak lagi segan-silu merokok di meja makan walaupun tahu ia salah dari segi undang-undang.

Mereka yang ingkar dan masih lagi merokok dalam kawasan larangan akan dikenakan kompaun RM250. Namun jumlah itu boleh dikurangkan kepada RM150 jika denda dijelaskan dalam tempoh satu bulan.

Jika masih degil dan terus menghembuskan asap rokok dalam premis makanan, tiada lagi pengurangan kompaun bagi kesalahan kedua.

Bayaran penuh kompaun iaitu RM250 akan dikenakan. Kompaun lebih tinggi iaitu RM350 akan dikenakan bagi pesalah kali ketiga dan seterusnya.

Pemilik premis pun tidak terkecuali. Mereka bertanggungjawab memastikan tempat makan bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok dan kegagalan mematuhinya boleh dikompaun.

Peraturan ini yang telah dimaklumkan banyak kali sebelum ini malah pendidikan penguatkuasaannya yang dijalankan selama setahun sebelum ia dikuatkuasakan penuh 2020 bagaimanapun nampaknya semakin dilupakan.

Lebih-lebih lagi, dalam keadaan negara dan pihak Kementerian Kesihatan yang bertanggungjawab menguatkuasa peraturan tersebut sibuk menguruskan pandemik Covid-19 sejak Mac 2019.

Semakan di kpkesihatan.com hanya menjumpai statistik penguatkuasaan mulai 8 pagi hingga tengah malam 1 Januari 2020 di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penguatkuasaan itu melibatkan 2,087 Pegawai Penguatkuasa daripada KKM yang memeriksa 6,119 premis tempat makan.

Katanya, sepanjang penguatkuasaan sejumlah 605 notis kesalahan dengan jumlah kompaun sebanyak RM144,450 dikeluarkan di mana 34 notis kesalahan adalah dikeluarkan kepada golongan orang belum dewasa.

Seterusnya, 103 notis kesalahan dengan jumlah kompaun RM25,750 dikeluarkan kepada pemilik premis dengan 79 notis kesalahan kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan 24 notis kesalahan kerana menyediakan kemudahan merokok.

Walaupun penguatkuasaan merokok itu masih berjalan, masih berlaku hembusan asapnya yang mengganggu ketenteraman pengunjung lain di tempat-tempat makan.

Lebih menyeksakan apabila pelanggan yang tak merokok terpaksa menghidu asap yang dikatakan mengandungi kira-kira 4,000 bahan kimia beracun.

Demikianlah manusia yang sifatnya pelupa. Ini ditegaskan dalam firman Allah SWt yang bermaksud: Dan apabila manusia itu ditimpa kemudaratan, dia memohon (pertolongan) kepada Tuhannya dengan kembali kepada-Nya; kemudian apabila Tuhan memberikan nikmat-Nya kepadanya lupalah dia akan kemudaratan yang pernah dia berdoa (kepada Allah) untuk (menghilangkannya) sebelum itu…. (az-Zumar : 8 )

Ada perokok yang memberitahu antara waktu paling nikmat merokok adalah selepas makan dan semasa buang air dalam tandas. Sebab itu, tabiat merokok di tempat makan ini sukar dihapuskan.

Begitu juga merokok dalam tandas. Kadang-kadang kita yang menggunakan tandas selepas geng perokok ‘lemas’ seketika dek bau asap rokok yang ditinggalkan oleh pengguna sebelum kita.

Kita tidak minta banyak daripada para perokok. Nikmat banyak manapun hisap rokok selepas makan, janganlah merokok di meja-meja makan.

Patuhilah peraturan. Ikutlah sebagaimana ketika awal penguatkuasaan tahun lalu, ramai perokok sanggup meninggalkan meja makan dan pergi sehingga jarak tiga meter untuk melepaskan gian ataupun sudut khas disediakan pemilik premis untuk pelanggan merokok.

Kasihani dan berperikemanusiaanlah kepada pelanggan lain yang tidak merokok. Jangan libatkan mereka dalam ‘jemaah paksa rela’ menghidu asap rokok anda.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) second hand smoke adalah fenomena yang membahayakan dan merugikan semua pihak. Malah berdasarkan kajian perubatan terkini, perokok pasif mempunyai kesan jangka panjang yang hampir sama dengan perokok tegar! Ini termasuk penyakit jantung, paru-paru dan kanser

Lagipun, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bagi kali ke-37 pada 23 Mac 1995 memutuskan merokok adalah haram mengikut pandangan Islam.

Dari aspek sosial, majoriti kita pasti setuju bahawa asap rokok merimaskan, membebankan dan mengundang aroma yang tidak nyaman sehingga membuatkan orang di sekeliling tidak selesa.

Tambahan lagi asap rokok juga dikategorikan sebagai suatu pencemaran udara yang boleh menggugat kesejahteraan masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×