SEGAMAT: Seramai lima pasangan dinikahkan di bulan kemerdekaan 1957 di sekitar daerah ini seperti tercatat dalam rekod simpanan pejabat Kadi, di sini.
Namun, tiada pasangan direkodkan memilih hari tarikh keramat 31 Ogos 1957 untuk bernikah, yang kemungkinan besar disebabkan mereka sangat teruja untuk menyaksikan acara sambutan kemerdekaan Tanah Melayu.
Kadi Segamat, Mohd. Fauzi Bachok berkata, buku rekod sijil daftar pernikahan itu walaupun sudah berusia lebih 100 tahun namun masih lagi utuh.
Menurut beliau, sebelum kewujudan buku rekod sijil daftar itu, acara pernikahan pasangan hanya direkodkan secara lisan.
“Penyimpanan rekod pernikahan secara sistem catatan bertulis ketika itu amat kemas dan tersusun bagi menyemak rekod pasangan.
“Pernikahan pasangan pada bulan kemerdekaan ketika itu turut menjadi kenangan unik untuk diceritakan kepada anak cucu malah cicit mereka,” katanya ketika ditemui di Pejabat Kadi Segamat di Jalan Buloh Kasap di sini, semalam.
Buku rekod bertarikh 1920-an itu mencatatkan nama, nombor kad pengenalan, tarikh dan alamat pasangan yang melangsungkan akad nikah di daerah itu.
Mohd. Fauzi berkata, catatan pada buku rekod itu turut memudahkan generasi kini mengesan susur galur pertalian keturunan untuk mengadakan majlis pertemuan semula bagi mengeratkan silaturahim.
“Berdasarkan sejarah awal, penempatan keluarga pasangan penduduk di Kampung Lubuk Batu dan di Kampung Jawa telah wujud melebihi seabad lalu.
“Setiap tahun ada peningkatan pendaftaran pasangan yang ingin memohon bernikah ketika itu,” katanya.
Tambah Mohd. Fauzi, ketika era pra Kemerdekaan, jurunikah dilantik terdiri daripada imam kariah setempat yang berkelayakan bagi memudahkan urusan pernikahan.
“Nostalgia pasangan yang bernikah ketika era pra kemerdekaan turut disambut meriah dengan mengadakan kenduri rewang yang sukar dirasai pada majlis perkahwinan generasi kini,” katanya. – UTUSAN









