TEMERLOH: Memikul senjata berat dan melilit badan dengan peluru sambil meredah kawasan berpaya sedalam lebih satu meter ketika memburu pengganas komunis di sempadan Sarawak dan Kalimantan adalah antara pengalaman yang tidak akan dilupakan bagi seorang bekas tentera di sini.
Rosidi Othman, 68, bekas anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berkata, pada waktu itu, matlamat pasukannya hanyalah untuk menjejaki anggota komunis sehinggakan segala beban yang dibawa tidak terasa beratnya.
“Saya ditugaskan membawa senjata. Dengan seluruh badan dibelit dengan peluru, saya sudah macam Rambo (watak filem Hollywood),’’ katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batu Kapor, Mentakab, baru-baru ini.
Bekas anggota Batalion Ke-11 RAMD di Kem Kluang pada 1974 itu berkata, dia juga pernah menjejaki komunis di Raub dekat sini, Gua Musang, Kelantan dan Gubir di Kedah.
Sepanjang operasi itu, katanya, ada rakan beliau yang maut dan putus kaki terpijak jerangkap samar.
“Ia merupakan antara pengalaman pahit untuk dikenang,” katanya.
Biarpun kental menghadapi ancaman komunis katanya, ada kalanya dia sedih mengenangkan isteri, Yazi Samad, 64, dan anak-anak yang terpaksa ditinggalkan berbulan-bulan lamanya.
“Setiap kali operasi ia memakan masa tiga bulan dan bersama keluarga hanya sebulan dan situasi ini berterusan kerana komunis masih menjadi ancaman bahaya ketika itu.
“Selain beraya di hutan, saya pernah dikerah kembali ke hutan walaupun baru sehari di rumah setelah tiga bulan di hutan. Namun itulah tugas seorang anggota tentera yang setia dikerah pada bila-bila masa diperlukan negara,” katanya. – UTUSAN









