SEREMBAN: Diserang hendap komunis sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri di Jakar, Sarikei, Sarawak menjadi peristiwa paling sukar dilupakan bekas anggota Pasukan Polis Hutan (PPH), Mohammad Noh Mansor, 72.
Dalam kejadian pada 1972 itu, dia bersama 29 anggota platunnya baru menyelesaikan tugas Rajang Area Security Command (Rascom) selama dua bulan mengawal sebuah pangkalan pasukan keselamatan dalam kawasan hutan di situ dan diganti dengan sebuah platun lain.
Berkongsi pengalamannya itu, Mohammad Noh berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 10 pagi ketika anggota PPH berkenaan bergilir-gilir menaiki sebuah sampan dikemudi seorang lelaki tempatan untuk menyeberang sungai pulang ke pekan Sarikei.

Katanya, selepas kesemua 30 anggota platun tersebut turun ke tebing, mereka berjalan melalui kawasan berpaya sebelum menghala ke jalan raya dan selepas 700 meter berjalan dari sungai tersebut, mereka diserang hendap pengganas komunis.
“Dalam platun saya itu ada seorang anggota berpangkat koperal yang sudah lama berkhidmat. Dia banyak pengalaman dan lebih awal nampak ada asap keluar disusuli bunyi tembakan di sebalik belukar.
“Dia menolak seorang anggota di hadapannya dan menjerit memaklumkan terdapat musuh di sebelah kiri kami. Kami kemudian meniarap kerana tiada tempat hendak berlindung memandangkan kawasan berpaya dan tiada pokok besar.
“Masa itu memang sedikit panik, seorang anggota kemudian melaungkan azan dan bermula daripada situ semangat kami naik dan membalas serangan dengan tembakan rambang hanya melihat pergerakan pokok yang bergoyang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Panchor Jaya dekat sini, kelmarin.
Mohammad Noh yang kini merupakan Pengerusi Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 Polis Diraja Malaysia, Negeri Sembilan bagaimanapun berkata, tiada anggota platunnya yang cedera dalam serangan hendap tersebut.
“Kejadian serang hendap itu berlaku dalam 20 minit, kami anggarkan ada enam anggota komunis yang menyerang. Mujur mereka tidak menggunakan senjata moden dan hanya shotgun, jika tidak sukar juga buat kami.
“Kami kemudian menyusuri kawasan serangan dan menemukan kesan darah. Dua minggu selepas kejadian, kami memperoleh maklumat anggota komunis yang cedera tersebut telah lari ke rumah panjang dan mendapatkan bantuan.
“Lebih mengejutkan hasil risikan kami mendapat tahu bahawa lelaki yang membawa kami menaiki sampannya itu adalah penyampai maklumat dan tali barut komunis. Ada antara kami juga yang terlepas cakap kepada beberapa wanita tempatan sehari sebelum kejadian bahawa kami tamat bertugas dan pulang ke Sarikei keesokannya.
Mungkin maklumat itu yang disampaikan kepada komunis,” katanya.
Mohammad Noh yang berasal dari Jasin, Melaka, berkata, setiap kali menjelang Aidilfitri, dia pasti teringat kembali peristiwa tersebut yang mungkin boleh meragut nyawanya dan rakan-rakan platunnya itu.
“Rasa seronok untuk menyambut hari raya di luar kawasan hutan hilang begitu sahaja, memang ‘mood’ sudah hilang pada waktu itu, kami semua terdiam selepas kejadian.
Apa yang lebih penting, tiada di antara kami yang cedera. Begitulah asam garam yang kami perlu hadapi ketika bertugas pada waktu itu,” katanya yang mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan dengan isteri, Suaibah Bujang, 67.
Mohammad Noh yang bersara sebagai anggota polis ketika berkhidmat di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan pada 2005 memberitahu, dia tidak pernah kesal sepanjang kerjayanya sebagai seorang anggota polis walaupun sebelum itu terlebih dahulu bekerja sebagai kerani sekolah. – UTUSAN










