Cabaran Perdana Menteri ke-9 - Utusan Malaysia

Cabaran Perdana Menteri ke-9

PENULIS menyifatkan calon-calon yang tidak terpilih sebagai Perdana Menteri kesembilan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal terselamat daripada memikul beban amat berat untuk mentadbir negara yang kini dalam keadaan getir sekali.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Barangkali bagi anak kelahiran Bera, Pahang ini sendiri tidak menyangka selepas mendapatkan ijazah sarjana muda undang-undang dari Universiti Malaya pada 1980, empat dekad selepas itu (pada usia 61 tahun) beliau dilantik menjadi Perdana Menteri kesembilan sewaktu negara menghadapi dua krisis luar biasa – pandemik Covid-19 dan ekonomi merudum selepas hampir dua tahun negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tetapi itulah hukum alam, tiada siapa boleh menolak takdir. Dalam surah al-Imran ayat 54, Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Mereka merancang, Allah juga merancang. Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang.”

Walaupun banyak pihak lain turut merancang agar calon mereka dilantik Yang di-Pertuan Agong menjadi Perdana Menteri kesembilan, jika Allah SWT berkehendak beliau menyandang jawatan itu, maka itulah yang berlaku.

Pada pukul 2.30 petang, Sabtu lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaaakob dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri, membolehkannya mentadbir negara ini sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka berlangsung Julai tahun depan. Mulai detik itu, nama Ismail Sabri dimasukkan dalam senarai panjang pemimpin sejak negara merdeka, bermula dengan nama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Beliau menjadi anak Pahang ketiga memegang jawatan tersebut selepas Tun Abdul Razak Hussein (Perdana Menteri kedua) dan Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri keenam).

Beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga PRU-15 sekiranya menang dalam usul undi percaya di Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Ada sahabat meminta komen saya mengenai calon-calon lain yang tewas, tidak dilantik menjadi Perdana Menteri kesembilan. Saya jawab, Allah sayang mereka kerana buat masa ini mereka diselamatkan daripada memikul beban amat berat untuk mentadbir negara yang kini dalam keadaan amat getir sekali. Dalam keadaan begini di mana 33 juta rakyat mengharapkan sesuatu keajaiban dapat dilakukan oleh kerajaan, setiap langkah yang betul tidak akan disambut dengan ucapan terima kasih, manakala setiap langkah yang salah akan dikutuk oleh rakyat habis-habisan. Itu adalah suatu kebiasaan.

Berpandukan beberapa kenyataan akhbar Istana Negara sebelum ini, antara cabaran besar yang menanti Perdana Menteri adalah seperti berikut:

* Beliau mesti menang undi percaya di Dewan Rakyat yang akan bersidang selepas ini, sekali gus membuktikan tindakan Yang di-Pertuan Agong melantiknya pada 21 Ogos lalu adalah tepat sekali.

* Beliau mesti menyelesaikan ketidaksetabilan politik yang telah sekian lama melanda negara termasuk menimbangkan bentuk kerajaan yang lebih inklusif, mengandungi penyertaan ahli daripada parti pembangkang.

* Beliau mesti menyelesaikan masalah pandemik Covid-19 termasuk menimbangkan penglibatan pihak-pihak lain yang ada kepakaran dan pengalaman dalam perkara ini.

* Beliau mesti pulihkan ekonomi negara. Untuk itu, satu pelan pemulihan ekonomi yang sempurna perlu dibentang, dibahaskan dan disetujui oleh Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Minggu lalu, ada pihak menyatakan sudah sampai masanya kita mewujudkan satu ‘politik baharu’ di negara ini, tetapi tidak memperinci dan memperjelaskan apa elemen penting dalam politik baharu itu.

KLUSTER MAHKAMAH

Menurut Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, sekiranya Perdana Menteri mengekalkan muka-muka lama dalam pentadbirannya, rakyat akan merasakan tidak ada bezanya kerajaan baharu ini dengan kerajaan lama. Tindakan melantik Ketua Pembangkang sebagai Timbalan Perdana Menteri itu pastinya sukar dilakukan, tambahnya. Namun begitu, dalam menyahut titah Istana Negara, Perdana Menteri hendaknya bersedia menyambut tangan pembangkang untuk mewujudkan politik damai sehingga Parlimen dibubarkan.

Seorang penganalisis politik lain menyatakan, Perdana Menteri perlu ada kekuatan berdepan dengan rakan-rakan yang mempunyai kes-kes mahkamah. Beliau perlu kuat mempertahankan integritinya, mengamalkan dasar tidak masuk campur dalam urusan kehakiman negara.

Paling baik sekali, sekiranya sesiapa sahaja dalam kalangan rakan Perdana Menteri yang ada kes-kes mahkamah itu segera mengambil ‘cuti panjang’ secara sukarela daripada aktiviti parti. Satu pilihan lain adalah bagi pucuk pimpinan parti menggantung sementara keahlian mereka yang kini berada dalam kluster mahkamah. Apabila kes-kes ini nanti selesai dan mereka didapati tidak bersalah, penggantungan keahlian mereka itu boleh dibatalkan dan mereka dibenarkan kembali aktif dalam parti.

Ismail Sabri menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 7 Julai lalu. Dalam game of thrones yang berlangsung sejak itu hingga Jumaat lalu, nyata sudah beliau berjaya mengatur dan melaksanakan strateginya. Tidak hairanlah ada sahabat yang menyifatkan kedudukannya yang bermula sebagai Menteri Pertahanan dalam kerajaan

Perikatan Nasional sebagai kuda Trojan UMNO yang akhirnya mampu menumbangkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari dalam. Dalam mitos Yunani, kuda Trojan (muslihat tentera Greek) telah menyebabkan kejatuhan bandar raya Troy.

DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×