“Jom pergi pantai. Bila? Esok.” Begitulah kadangkala bermulanya perjalanan yang paling kita kenang. Tanpa perancangan rapi, cuma dua sahabat, sebuah kereta dan keinginan untuk meninggalkan kesibukan bandar buat seketika.
Dalam perjalanan, macam-macam cerita keluar. Tentang kerja, keluarga dan perkara kecil yang mengganggu fikiran.
Kalau sudah ke pantai, alang-alang tentulah mahu bergambar.
Percutian singkat begini memerlukan pakaian yang tidak banyak kerenah.
Selesa untuk perjalanan jauh dan cukup praktikal bagi berjalan menikmati angin laut.
Di sinilah rekaan dress dengan kemasan renda daripada jenama tempatan Ameera Zaini menarik perhatian.

Keistimewaannya terletak pada gabungan potongan santai dengan perincian feminin yang teliti.
Fabrik gabungan linen, tencel dan kapas memberikan tekstur semula jadi menarik, manakala potongan selesa membolehkan pemakai bergerak dengan lebih bebas.
Lapisan dalamnya daripada campuran rayon pula memberikan kemasan lebih sempurna.
Kolar beropol membingkai bahagian leher dengan lembut, sementara bahu sedikit gelembung dan lengan belon memberikan bentuk menarik tanpa perlu menambah banyak aksesori.
Kemasan pada pergelangan tangan turut membantu mengekalkan bentuk lengan ketika bergerak.
Perhatikan juga kedutan pada bahagian pinggang bawah.
Perincian ini menghasilkan jatuhan dress yang lebih lembut dan tidak terlalu melekap pada tubuh.
Renda halus yang menghiasi rekaan pula menambah unsur romantis tanpa menjadikannya kelihatan terlalu formal.
Lebih menarik, dress ini mempunyai poket sisi yang berfungsi, zip tersembunyi di belakang dan perincian logo khas jenama pada bahagian kiri.

Sentuhan kecil begini menjadikan rekaan ringkas terasa lebih istimewa.
Pilihan rona blush, sand, vanila dan shell memberikan ruang untuk bereksperimen mengikut cita rasa.
Blush, dengan sentuhan merah jambu lembut, sesuai dipadankan bersama tudung krim dan sandal putih untuk gaya feminin.
Sand pula cantik dengan tudung coklat susu, beg anyaman dan sandal berwarna tanah.
Bagi yang gemarkan penampilan bersih dan segar, vanila boleh digayakan bersama tudung sage atau beige.
Shell pula sesuai dipadankan dengan tudung kelabu lembut atau taupe untuk penampilan lebih tenang.
Untuk ke pantai, pilih tudung bawal kapas atau selendang yang mudah dibentuk.
Gunakan lilitan ringkas dan kemas supaya tidak terlalu sibuk membetulkan tudung apabila angin bertiup.
Cermin mata hitam, beg silang kecil dan sandal rata sudah memadai.
Satu lagi petua, biarkan perincian renda, kolar dan lengan dress menjadi tumpuan.
Tudung polos tanpa corak besar lebih sesuai agar keseluruhan penampilan kelihatan seimbang.
Menjelang petang, pantai semakin lengang.
Dua sahabat tadi masih duduk di situ. Mungkin sudah kehabisan cerita, atau terlalu selesa untuk berkata apa-apa.
Esok mereka akan kembali kepada kehidupan masing-masing.
Kerja masih menunggu. Masalah yang ditinggalkan di bandar juga belum tentu selesai.
Tetapi hari itu, mereka sempat hadir untuk satu sama lain.
Semakin dewasa, kita faham tidak semua orang akan kekal bersama.
Ada persahabatan yang perlahan-lahan menjadi kenangan.
Ada pula yang tetap akrab walaupun jarang bertemu.
Bertahun-tahun nanti, mungkin kita terlupa nama pantai itu.
Mungkin juga tidak ingat apa yang dipakai atau berapa banyak gambar diambil.
Tetapi kita akan ingat siapa yang menemani ketika hati sedang berat.
Dan mudah-mudahan, apabila suatu hari nanti telefon berbunyi dengan pesanan, ‘jom pergi pantai lagi’, masih ada seseorang di hujung sana yang menjawab. ‘jom, tapi kali ni kau pula belanja makan’.











