Kecerdasan buatan buat mahasiswa berhalusinasi?

Kecerdasan buatan buat mahasiswa berhalusinasi?

KECERDASAN buatan (AI) menjadi pemangkin ilmu apabila digunakan dengan bijak, bukan pengganti usaha dan pemikiran mahasiswa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJAYAAN akademik menuntut kesungguhan, bukan jalan pintas. Namun, kemajuan kecerdasan buatan (AI) mengubah cara mahasiswa mencari maklumat, memahami pelajaran dan menyiapkan tugasan.

Aplikasi seperti ChatGPT, Gemini dan Claude mampu meringkaskan jurnal, mencetuskan idea serta menyemak tatabahasa dalam beberapa saat. Kemudahan ini membuka ruang pembelajaran baharu tetapi penggunaannya tanpa kawalan boleh melemahkan keupayaan berfikir.

AI berpotensi melahirkan mahasiswa yang kreatif dan berinspirasi. Sebaliknya, teknologi sama boleh mencetuskan ilusi kepandaian apabila seseorang yakin menguasai ilmu hanya kerana mampu menghasilkan jawapan yang kelihatan meyakinkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jika dimanfaatkan dengan bijak, AI menjadi pemangkin pembelajaran. Mahasiswa kejuruteraan yang buntu memilih tajuk projek tahun akhir, misalnya, boleh meminta cadangan isu semasa berkaitan tenaga boleh baharu.

Senarai itu menjadi titik permulaan untuk meneliti sumber ilmiah, berbincang dengan penyelia dan memperincikan skop kajian, bukannya jawapan muktamad.

AI turut berfungsi sebagai tutor peribadi. Mahasiswa yang lemah dalam statistik boleh meminta penerangan menggunakan bahasa mudah sebelum menguji kefahaman melalui soalan latihan.

Kaedah ini memberi ruang kepada mereka untuk belajar mengikut kemampuan sendiri. Bak kata pepatah, malu bertanya sesat jalan, namun setiap jawapan tetap perlu dinilai berdasarkan sumber yang sahih.

Dalam Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET), teknologi ini membantu mengenal pasti ralat pengaturcaraan, merancang kerja amali serta memahami situasi industri. Penggunaannya juga boleh memudahkan penyediaan laporan yang lebih tersusun, selagi kandungan akhir mencerminkan pemahaman dan usaha pelajar sendiri.

Bagaimanapun, AI bukan sumber yang sentiasa tepat. Istilah halusinasi AI merujuk maklumat palsu yang disampaikan seolah-olah benar. Sistem ini boleh menghasilkan nama pengarang, tajuk jurnal, statistik atau petikan undang-undang yang sebenarnya tidak wujud.

Mahasiswa yang memasukkan rujukan sedemikian ke dalam tesis tanpa pemeriksaan berisiko menjejaskan mutu kajian dan integriti akademik. Kesilapan itu boleh dielakkan melalui semakan pangkalan data ilmiah serta sumber rasmi sebelum sesuatu maklumat digunakan.

Risiko lebih besar muncul apabila mahasiswa menyamakan tugasan yang kemas dengan penguasaan ilmu. Esei yang siap dalam masa singkat tidak semestinya membuktikan kefahaman kerana proses membaca, menilai bukti dan membina hujah mungkin diserahkan sepenuhnya kepada mesin.

Kebergantungan sedemikian boleh melahirkan graduan yang kelihatan cemerlang di atas kertas tetapi sukar menyelesaikan masalah sebenar di tempat kerja.

Majikan bukan sekadar menilai hasil tugasan, malah melihat kemampuan berfikir secara kritis, berkomunikasi dan membuat keputusan.

Mahasiswa juga berisiko untuk tidak tekun membaca bahan yang panjang atau menulis menggunakan kemampuan sendiri.

Usaha menangani masalah ini memerlukan kerjasama pelajar, pensyarah, penasihat akademik dan ibu bapa. Mahasiswa perlu menjadikan AI sebagai rakan berbincang, bukannya penulis upahan.

Mereka wajar membina draf sendiri sebelum mendapatkan cadangan penambahbaikan, menyemak fakta serta menyatakan penggunaan teknologi secara jujur. Keupayaan menerangkan semula sesuatu konsep tanpa bantuan skrin juga boleh menguji tahap pemahaman.

Pensyarah boleh merancang penilaian yang mengutamakan pemikiran asli, termasuk refleksi peribadi, analisis data setempat, pembentangan lisan dan kerja amali.

Contoh jawapan AI yang mengandungi rujukan palsu juga boleh digunakan sebagai latihan mengenal pasti kesilapan. Pendekatan ini mendidik mahasiswa supaya menilai maklumat, bukan menerimanya secara membuta tuli.

Penasihat akademik berperanan mengesan tanda awal kebergantungan melampau, misalnya apabila mutu tugasan jauh berbeza daripada prestasi peperiksaan bertulis.

Perbincangan tentang tabiat belajar dan pengurusan masa boleh membantu mahasiswa mengelakkan amalan menyiapkan semua kerja pada saat akhir. Bimbingan yang mesra lebih berkesan daripada tindakan menghukum tanpa memahami puncanya.

Peranan ibu bapa masih penting walaupun anak sudah melangkah ke universiti. Nilai kejujuran, kesabaran dan kesungguhan perlu dipupuk dari rumah. Menghargai usaha anak bukan sekadar mengejar markah tinggi tetapi dapat mendorong mereka supaya tidak memilih jalan pintas.

AI tidak menentukan sama ada seseorang mahasiswa menjadi kreatif atau terperangkap dalam ilusi kepandaian. Sebaliknya, pilihan itu bergantung pada sikap dan cara teknologi digunakan. Dengan pemikiran kritis serta integriti, AI boleh menjadi pemangkin ilmu.

Tanpa usaha memahami dan menilai maklumat, kemudahannya hanya menghasilkan jawapan yang kelihatan hebat tanpa pengetahuan yang kukuh di sebaliknya. –UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MD. ASRUL NASID MASROM
Dekan,
Fakulti Pengurusan Teknologi dan
Perniagaan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini