PETALING JAYA: Kerajaan diketuai Perdana Menteri kesembilan akan menjadi kerajaan campuran atau diberi mandat dan kuasa-kuasa tertentu sehingga tarikh negara sesuai mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi merungkai krisis politik negara ini.
Ini kerana usaha memilih perdana menteri dengan majoriti kukuh dijangka sukar dan berakhir seperti keruntuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila berlaku penarikan sokongan oleh Ahli Parlimen.
Ketika ini tiada parti politik ada majoriti kukuh bagi membentuk kerajaan manakala pertelingkahan mengenai siapa yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri kesembilan akan terus mencetuskan ketidakstabilan di negara ini.
Utusan Malaysia difahamkan bahawa kerajaan yang bakal diterajui Perdana Menteri baru dan kerajaan yang dibentuk jika gagal mendapat majoriti mutlak, akan diberikan jangka masa tertentu bagi menangani pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi, menyegerakan bantuan kepada rakyat serta mencapai imuniti kelompok.mum ke-15.
Sumber yang rapat dengan perkembangan itu berkata, jika tiada pemimpin meraih majoriti, pilihan seterusnya membina kerajaan campuran dengan sasaran mencapai imuniti kelompok serta mengadakan PRU-15.
“Hanya dengan cara ini semua pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong tidak akan diheret sekali lagi kepada proses pemilihan Perdana Menteri, pembuktian sokongan serta akuan sumpah (SD) serta krisis politik yang berulang,” kata sumber itu.
Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan perdana menteri bersama semua anggota Kabinet selepas kerajaan PN hilang sokongan majoriti ahli Parlimen. Perkara sama berlalu kira-kira 18 bulan lalu apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan selepas hilang majoriti, sekali gus kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berkuasa 22 bulan jatuh.
Sumber berkata, isu majoriti akan terus menghantui parti-parti politik dan satu-satunya cara mengelak negara terjerumus ke dalam krisis sama ialah mengadakan pilihan raya apabila negara mencapai imuniti kelompok.
Berdasarkan kadar vaksinasi, Malaysia dijangka mencapai imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini.
Ketika ini, kira-kira 40 peratus penduduk dewasa negara sudah mendapat vaksinasi lengkap. Sasaran imuniti kelompok adalah 80 peratus penduduk dewasa.
Sementara itu semalam Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah telah menerima menghadap semua ketua-ketua parti selama kira-kira dua jam.
Sebelum itu baginda turut mengadakan pertemuan dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong mengakui, baginda menitahkan semua parti bermuafakat dan bersatu hati menghadapi krisis Covid-19, seterusnya bekerjasama membangunkan ekonomi negara.
Katanya, baginda bertitah supaya semua parti bermuafakat menamakan calon Perdana Menteri pilihan mereka menerusi penyerahan SD oleh semua ahli Parlimen. Pencalonan nama perdana menteri oleh 220 ahli Parlimen akan ditutup pukul 4 petang ini.
Difahamkan pemimpin politik yang menerima SD terbanyak walaupun tidak mendapat majoriti yang diperlukan, akan dilantik dan merencana gabungan kerajaan baharu.
Anwar turut membayangkan kemungkinan wujud konsensus dengan semua parti di negara ini.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan memberitahu, ahli-ahli Dewan Rakyat perlu memberikan SD masing-masing kepada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim sebelum pukul 4 petang hari ini.
Mereka boleh mengemukakan SD masing-masing menerusi faksimile, e-mel dan salinan PDF menerusi WhatsApp.
“Ahli-ahli Yang Berhormat diperingatkan untuk menjaga kerahsiaan surat akuan tersebut,” katanya.
Muhyiddin kini adalah Perdana Menteri sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk. Difahamkan Perdana Menteri kesembilan akan diumumkan selewat-lewatnya Isnin ini.
Beberapa nama disebut termasuk Anwar, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah; Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabari Yaakob dan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. – UTUSAN










