Pas tak manfaat peluang depan mata - Utusan Malaysia

Pas tak manfaat peluang depan mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

MELAKA merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN). Ketua menterinya datang daripada UMNO selama 13 penggal. Namun siapa sangka, negeri itu tumbang di tangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, ADLY ZAHARI dari Parti Amanah Negara (Amanah) diberikan tanggungjawab menggalas portfolio Ketua Menteri pertama PH tapi berakhir selepas 22 bulan.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, HADI AB. MANAP dan MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI bersama jurugambar RASUL AZLI SAMAD baru-baru ini, Adly melontarkan pandangan dan berkongsi pendapat tentang parti lamanya, Pas yang kini sebahagian Kerajaan Persekutuan.

UTUSAN: Bagaimana kehidupan Yang Berhormat (YB) selepas tidak menjawat portfolio Ketua Menteri?
ADLY: Saya tak pernah menjadi ADUN sebab tak pernah memenangi pilihan raya. Tiba-tiba jadi ADUN, terus dilantik ketua menteri. Memanglah kalau kita lihat peranan ketua menteri selama 22 bulan itu, menjaga rakyat secara keseluruhannya. Dari segi masa, kesibukan itu memanglah tidak sama. Walau tempoh sama, tetapi tanggungjawab itu lebih besar sebagai ketua menteri.

Situasi Melaka sekarang dari kaca mata bekas ketua kerajaan?
Saya selalu melihat, untuk menilai kerajaan, tengok semasa berdepan isu, krisis atau zaman senang dan susahnya. Kerajaan akan melalui proses-proses itu, stabil dan tidak stabil. Mana-mana kerajaan pun akan hadapi, tetapi macam mana kita melihat pencapaian mereka.

Bila saya mentadbir kerajaan, saya menilai kerajaan itu berdasarkan tiga perkara. Tugas kerajaan untuk hilangkan kelaparan, kejahilan dan kedukaan rakyat. Dalam soal kelaparan, ia berkait dengan kemiskinan, ekonomi dan peluang pekerjaan.

Bukan sahaja di Melaka tetapi Malaysia memang berundur dari keadaan ini. Kita tahu Covid-19 adalah antara punca besar tetapi kita harus melihat banyak juga negara yang berdepan pandemik ini tetapi tidaklah terlalu jauh ke belakang.

Imuniti kelompok dijangka dicapai hujung tahun ini. Adakah ekonomi Melaka akan pulih pada 2022?
Imuniti berkelompok bukan segala-galanya. Kalau apa yang diungkapkan Pengarah Kesihatan itu betul tentang Parlimen, ia lebih buruk bagi kita kerana Parlimen hampir mencapai 100 peratus imuniti kelompok. Hari ini Parlimen ditutup, jadi menunjukkan apabila sampai sahaja imuniti kelompok, kita akan terus berdepan sekatan pergerakan juga.

Bagaimana kedudukan PH Melaka sekarang?
Kita memang sepakat. Kita tidak mempunyai masalah dari awal lagi sebab tiga parti kita ini, kecuali apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar dari PH.

Sepanjang kita memimpin, 11 wakil rakyat PH di peringkat negeri dan ahli-ahli Parlimen memang sentiasa berkomunikasi dan kita tahu, kita punya pengalaman memimpin selama 22 bulan.

Daripada pengalaman itu, mungkin boleh memberikan banyak peluang kepada PH untuk mengembalikan keyakinan rakyat supaya pilih kita pada pilihan raya akan datang.

Adakah PH Melaka akan rampas DUN Pengkalan Batu dan Rembia daripada penyandangnya?
Saya tidak fikir ADUN sedia ada mudah untuk menang dalam pilihan raya akan datang, walaupun gunakan tiket apa sekali pun. Sebab kita tahu, kemenangannya bukanlah kerana peribadi. Di Melaka kalau kita lihat, personaliti tidak memberikan kesan yang besar. Ia lebih kepada politik itu secara keseluruhan.

Mungkin ada sesetengah kawasan seperti di Masjid Tanah lebih kepada personaliti. Tetapi di Melaka masih lagi politik kepartian. Macam dalam pilihan raya lepas, semua calon bukan dikenali pun. Macam saya sendiri, orang tidak kenal tapi menang sebab gabungan yang kita buat, iaitu PH.

Sebab itu saya fikir, kalau parti boleh beri keyakinan kepada rakyat, bagi saya Pengkalan Batu tidak menjadi masalah. Cuma mungkin PH harus bekerja lebih kuat untuk meyakinkan masyarakat di Rembia.

YB pernah terfikir PH akan jatuh di Melaka?
Kita jadi kerajaan dengan 15 kerusi, memang bergantung kepada Bersatu. Kalau Bersatu tarik diri, kita tetap akan hilang majoriti. Tinggal 13 kerusi melainkan Bersatu jadi Bebas. Memang model politik PH terlalu awal untuk kita nilai dan saya tak nafikan sepanjang mentadbir, memang ada isu-isu melibatkan Bersatu.

Banyak isu melibatkan perkauman antaranya Dr. Zakir Naik (penceramah bebas). Ini semua isu yang direka semata-mata untuk mewujudkan ketidakstabilan bagi memenuhi hasrat politik masing-masing.

Memang saya kesal kerana dengan mengkhianati mandat yang diberikan rakyat, kesan ketidakstabilan sehingga hari ini, ke hadapan pun begitu. Bagi saya, sepatutnya Bersatu kalau tidak puas hati dengan PH, mereka boleh menyuarakan peranan dalam PH. Mereka boleh vokal dalam PH dan boleh suarakan apa-apa pandangan seperti mana UMNO lakukan dalam Perikatan Nasional (PN).

YB dalam Pas sejak 1993. Bagaimana YB melihat Pas hari ini selaku kerajaan?
Dahulu memang kita susah nak melawan hujah-hujah Pas. Ini memang susah, sebab saya sendiri tahu kenapa Pas berhujah begitu. Antara hujah penting Pas, kuasa bukanlah suatu yang penting. Yang penting adalah memberi kesedaran kepada rakyat tentang agama, saya pegang prinsip itu. Sebab itu saya lama dalam Pas, saya tidak bertanding pun tidak mengapa. Saya memang mulakan kerjaya dengan Pas selepas dapat ijazah. Bekerja dengan Pas sepenuh masa.

Tetapi bila kita lihat tok guru (Datuk) Nik Abdul Aziz Nik Mat dapat kuasa, tok guru sebut tanpa kuasa kita tidak boleh ubah sesuatu. Jadi, kuasa cukup penting. Bila kesedaran itu timbul, kita mesti berkuasa untuk merubah sistem dan sebagainya.

Kalau kita lihat hari ini, Pas telah diberikan kuasa sehingga peringkat nasional. Pas ada jawapan, mereka kata tiada kuasa mutlak untuk mengubah, memang mana-mana parti politik dalam Malaysia tiada kuasa mutlak. Tetapi mereka diberikan beberapa portfolio, sepatutnya boleh berperanan terutama dalam institusi agama. Saya ambil contoh, walaupun bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilantik, sebenarnya Pas boleh berperanan di situ.

Dahulu Pas banyak bangkitkan isu RUU 355, isu Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, isu agama yang agak sensitif termasuk Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Macam sukan Olimpik, pakaian atlet pun kadang-kadang jadi isu.

Kalau Pas bersungguh-sungguh, mereka boleh tambah baik. Bagi saya, Pas banyak tertumpu isu-isu politik. Semasa peluang ada pada mereka, tidak gunakan. Tetapi kalau ditanya saya, bukan kerana tidak gunakan, sebenarnya Pas tidak bersedia untuk itu. Sebab itu bila jadi kerajaan, mereka tidak tahu apa yang mahu dilakukan, sedangkan peluangnya ada.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×