Memahami dakwaan bermotif politik - Utusan Malaysia

Memahami dakwaan bermotif politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU boleh, pemain politik yang berdepan tuduhan tidak amanah, menyalahgunakan kuasa, rasuah dan lain-lain yang membawa maksud yang sama, elaklah mengungkapkan, ‘dakwaan bermotif politik.’ Ini suatu yang tidak sihat kepada negara dan rakyat.

Ungkapan ini bermaksud institusi perundangan dan kehakiman tidak berperanan seperti sewajarnya. Sebaliknya menjadi alat untuk mengena atau memerangkap musuh politik yang tidak sealiran. Memberi persepsi pendakwaan terhadap pemain politik bermotif politik adalah suatu yang sangat nakal. Tujuan utama mempengaruhi sesetengah dalam kalangan rakyat bahawa dirinya dianiaya. Mereka menagih simpati, pada masa sama memberi persepsi buruk kepada banyak pihak.

Pertama, persepsi terhadap ketelusan sistem perundangan negara tercemar apabila digambarkan menjadi alat politik kerajaan. Seterusnya terhadap institusi penguatkuasaan yang seolah-olah diperalatkan oleh motif politik. Paling depan tentulah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Apabila ada dakwaan, institusi inilah yang dipersalahkan kononnya membuat dakwaan terpilih. Kemudian Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam Diraja Malaysia dan lain-lain lagi.

Apabila ada orang berpengaruh membentuk persepsi sedemikian, kesannya sesetengah dalam kalangan rakyat mulai hilang kepercayaan kepada institusi berkenaan. Institusi penguatkuasa tidak mendapat ruang yang istimewa seperti pemain politik. Mereka tidak bebas untuk membalas kenyataan terhadap tuduhan yang dilemparkan itu. Sedangkan pemain politik bebas menggunakan media sosial untuk mencetuskan api kesangsian dan membiarkan merebak, membakar dan memusnahkan.

Hakikatnya setiap dakwaan berdepan jalan berliku. Tanpa bukti meyakinkan, institusi penguatkuasa juga tidak memulakan dakwaan. Ini untuk menjaga reputasi supaya tidak kalah di mahkamah. Semua proses ini melibatkan banyak pihak dan tentunya tidak mudah, walaupun tidak mustahil.

Perkara ini sebenarnya bukan baharu, malah mulai tercetus sejak pertengahan 1990-an. Ketika itu media yang baru wujud iaitu blog yang tumbuh dengan rendangnya.

Blog menjadi alternatif apabila media arus perdana dikawal oleh politik arus utama. Maka blog menjadi tempat arus politik bertentangan membina pengaruh. Bermula dari situ, banyak pemain politik mengulang modus operandi yang sama apabila tersangkut dalam kes penyelewengan atau pecah amanah. Mereka bukan sahaja menafikan, tetapi dengan pantas juga mencari sasaran untuk diletakkan sebagai punca penganiayaan itu.

Naratifnya mudah, bangkitkan sentimen bahawa mereka dianiaya dengan dakwaan yang bermotif politik. Dalam kalangan penyokong, sentimen ini seperti api yang hanya menunggu simbahan petrol untuk marak. Dengan pelaburan kecil, pemain politik mengaut keuntungan apabila persepsi yang dia tidak bersalah menjadi tular. Inilah balanya apabila sesetengah pemimpin politik dalam arus utama pernah menyalahgunakan institusi penguatkuasaan. Sama ada dengan sengaja atau sebaliknya, perbuatan itu menjadi bukti yang berkuasa pernah menyalahgunakan kuasa. Pernah menghumban musuh politik dalam tahanan tanpa bicara.

Ini bukan kisah dongeng. Bagaimanapun ini berlaku pada satu era dahulu, lama dahulu sebelum menjengah alaf baharu. Sebenarnya bukan pemain politik sahaja, wartawan yang tidak sealiran juga menjadi mangsa. Merengkuklah mereka tanpa tahu salahnya. Tetapi tidak ada pula wartawan berkenaan atau pertubuhan tertentu mendakwa semua itu bermotif politik. Padahal wartawan mempunyai akses untuk membina persepsi kebebasan mereka disekat. Bezanya, tidak semua wartawan beraksi sebagai pemain politik. Mereka wartawan.

Adalah suatu yang tidak bermoral apabila ada pemain politik yang memperalatkan sentimen atau emosi rakyat supaya percaya bahawa pendakwaan terhadap salah laku itu perangkap politik. Sepatutnya berdepanlah secara berani dan menjawab semua tuduhan itu di mahkamah. Salah atau benar di sisi undang-undang tidak boleh diukur menggunakan formula demokrasi – yang banyak akan menang. Majoriti sama sekali tidak akan berbekas dalam menghakimi antara benar atau salah. Maka ini satu kerja yang sia-sia kerana kesudahannya hanya terletak pada kelicikan peguam, ketulenan kes dan wibawa institusi kehakiman. Apabila pemain politik terlalu sibuk dengan dakwaan bermotif politik, bagaimana pula dengan mereka di luar politik? Apakah pula motifnya apabila ada ahli korporat atau penghuni gelandangan didakwa?

Perlu diingat, tuduhan tidak amanah yang melibatkan wang berjuta-juta ringgit bukan hanya dituju kepada pemain politik. Banyak yang di luar kandang politik dituduh, didakwa dan ada yang akhirnya didapati bersalah. Ada yang dilepas dan dibebaskan.

Hidup ini tidak selalunya adil kepada kita. Ada liku-liku yang membuatkan keadilan itu sangat mahal harganya. Misalnya, seorang gelandangan terpaksa mencuri sebuku roti kerana kelaparan. Kalau tidak makan, dia mati. Tetapi siapa yang ambil peduli untuk mencari motif dakwaan terhadapnya. Pernah juga berlaku ketika berada dalam kerajaan, mereka menasihatkan pemain politik arus bertentangan yang didakwa supaya ‘menjawab di mahkamah.’ Nasihat itu amat bagus sekali, malah itulah yang sepatutnya dilakukan. Tidak ada cacat celanya nasihat itu. Tetapi ayat itu bergema ketika berada dalam kerajaan. Tetapi selepas berada dalam arus bertentangan dan didakwa, dia pula mengulangi kata-kata orang yang dinasihat itu, ‘dakwaan bermotif politik.’ Yang mana satukah betul? Hendak menjawab di mahkamah atau di media sosial?

Sekadar pesanan, penyokong tidak perlulah terlalu taksub dan cepat terloncat dengan setiap yang meluncur keluar daripada mulut pemain politik yang dikagumi. Kita hanya kenal mereka di media sosial, tidak kenal luar dalamnya. Berpada-padalah percaya sesuatu yang dikatakan supaya tidak termasuk dalam lubang biawak yang sama.

Pesan orang tua-tua, siapa yang makan nangka tentu akan kena getahnya. Makan maksudnya termasuk proses membuka kulitnya yang banyak getah. Kalau hendak tahu, getah nangka memang susah ditanggalkan. Kalau tidak kena caranya, berhari-hari melekat di jari. Saya menambah, kalau takut terkena getah, dari awal lagi jangan makan nangka. Ini lebih elok daripada makan sembunyi-sembunyi tetapi menafikan getah yang ada di jari.

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×