Fahami teguran, mesej jelas rasuah - Utusan Malaysia

Fahami teguran, mesej jelas rasuah

Peringatan yang disampaikan Sultan Selangor juga harus membuka mata dan telinga pihak pimpinan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa boleh dibendung dan dibanteras dengan adanya kerjasama daripada setiap golongan masyarakat supaya tidak mewujudkan ruang serta peluang yang boleh mendorong seseorang terlibat.

Mesej mengenai rasuah yang disampaikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah jelas menggambarkan ketegasan baginda yang mahukan jenayah rasuah dibanteras sepenuhnya.

Ini dapat dilihat menerusi titah baginda yang begitu serius mengarahkan mana-mana pegawai kerajaan dan ahli politik yang dikurniakan darjah dan bintang kebesaran serta pingat negeri akan ditarik balik jika didapati melakukan kesalahan rasuah.

Titah Sultan Selangor ini membawa maksud yang cukup jelas dan harus menjadi satu peringatan bukan sahaja kepada pegawai kerajaan negeri dan rakyat Selangor khususnya malah seluruh rakyat Malaysia amnya.

Peringatan yang disampaikan baginda ini juga harus membuka mata dan telinga pihak pimpinan negara bahawa aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa boleh merosakkan masyarakat serta imej negara.

Kelmarin, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita apabila terdapat beberapa pegawai kerajaan di Selangor terbabit dengan kegiatan rasuah yang boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik seluruh pegawai kerajaan negeri.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi kenyataan akhbar memaklumkan, baginda menegaskan bahawa pegawai kerajaan negeri yang didapati bersalah terbabit dalam aktiviti rasuah atau pecah amanah perlu dikenakan tindakan tatatertib serta hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor turut menzahirkan penghargaan baginda kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sudah melaksanakan tanggungjawab menyiasat dan memastikan aktiviti rasuah di negeri itu dapat dibanteras.

Baginda juga mahu SPRM terus menjalankan penyiasatan bagi memastikan mereka yang melakukan rasuah tidak terlepas daripada menerima hukuman dan ini memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa kedaulatan undang-undang terus dimartabatkan.

Penghargaan baginda kepada SPRM memperlihatkan keyakinan terhadap pengurusan agensi antirasuah tersebut dalam melaksanakan siasatan dengan adil tanpa mengira sesiapa sahaja yang didapati terbabit dengan rasuah.

Dr. Norhayati Rafida Abdul Rahim ialah Ketua Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan & Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×