Apa kesan Ivermectin memerangi Covid-19? - Utusan Malaysia

Apa kesan Ivermectin memerangi Covid-19?

IVERMECTIN belum disahkan untuk rawatan Covid-19. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perperangan dengan Covid-19 masih belum selesai, malah bertambah tenat. Maka keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan kelonggaran menggunakan ubat Ivermectin untuk Covid-19 berikutan permohonan berasingan adalah kena pada masanya. Pada ketika itu, Malaysia sudah mula merentasi jumlah sejuta pesakit terjangkit koronavirus. Apakah kaitan Ivermectin dalam perhitungan pandemik sedia ada?

Ubat tersebut telah lama disebut-sebut tatkala lebih sering dilaporkan sebagai bahan mampu mengatasi pandemik Covid-19. Terutama sekali dikatakan berkesan kepada para pesakit di Peru, Paraguay dan sebahagian besar di India.

Jika ada yang musykil mengapa ia hanya melibatkan negara-negara membangun, ini kerana negara-negara tersebut yang lebih terancam kerana tidak termampu mendapatkan vaksin di dalam pasaran. Ia kini lebih tertumpu kepada negara-negara kaya sahaja, melampaui keperluan rakyat negara masing-masing. Sifat ketamakan dan haloba seperti ini mendapat teguran dunia sebagai satu bentuk ketidakadilan dalam usaha membanteras wabak yang kian menular melibatkan empat juta kematian seantero dunia setakat ini.

Ivermectin oleh itu mendapat perhatian sebagai salah satu pilihan lain untuk merawat Covid-19. Apatah lagi ia murah dan mudah diperoleh di samping tidak banyak menunjukkan kesan sampingan buruk. Penggunaannya menjangkau puluhan tahun lamanya untuk pelbagai tujuan penyakit (tidak termasuk koronavirus). Oleh itu, pelbagai pihak mula berminat dengan penggunaan Ivermectin apabila lebih banyak laporan keberkesanannya diterima dalam melawan wabak virus. Ini termasuk dari negara maju juga, berbeza dengan keadaan sebelum ini.

Apa pun, Ivermectin mempunyai catatan sejarah agak meluas bermula 40 tahun lalu. Pada masa itu, ia terkenal sebagai agen antiparasitik diperkenal oleh pemenang hadiah Nobel untuk perubatan. Beliau ialah penyelidik Jepun, Dr. Satoshi Omura pada 2015. Malah pada awal tahun ini, beberapa perjumpaan para ahli profesional, penyelidik dan pesakit bersetuju dengan syor bahawa Ivermectin adalah ‘selamat’ dan mudah didapati dengan harga murah untuk kegunaan awal jangkitan Covid-19 pada peringkat global sekalipun. Ini berasaskan kepada beberapa dapatan kajian serta penyelidikan yang menunjukkan berkurangnya risiko mendapat jangkitan Covid-19 apabila diberi Ivermectin. Pengurangannya sehingga sebanyak 90 peratus dan kematian pula kurang sehingga 91 peratus.

PALSU

Kesimpulan yang sama juga disokong oleh beberapa pakar dari merata dunia setakat ini. Namun, mereka rata-rata terpaksa menafikan banyak hal ‘palsu’ yang disebarkan oleh pelbagai pihak yang sewajarnya menetapkan ketepatan penyelidikan sains dalam mempertahankan lagi kesannya ke atas kesihatan umum, bukan sebaliknya. Ini bermakna ada pihak-pihak tertentu yang tidak menyenangi penggunaan Ivermectin dan berbuat apa sahaja untuk menggagalkannya termasuklah menggunakan taktik-taktik kotor.

MENYAHKAN
Banyak contoh yang dikemukakan melibatkan syarikat serta industri farmasi sendiri, selain para penggubal dasar serta profesional sekalipun. Antara yang diajukan adalah badan berwibawa ubat-ubatan dan makanan Amerika Syarikat (FDA) yang didakwa menggembar-gemburkan bahaya Ivermectin serta menghalang penggunaannya.

Dijangka ada beberapa buah syarikat farmasi gergasi begitu khuatir akan persaingan Ivermectin kepada vaksin sehingga boleh menjejas penggunaannya secara lambakan. Justeru, keuntungan yang akan diperoleh antara sebab utama yang mengganggu-gugat pasaran vaksin.

Sementara itu, daripada pihak khalayak ramai pula, sebuah makalah berjudul The Drug That Cracked Covid ditulis oleh Michael Capuzzo, seorang pemenang terkenal New York Times dan juga enam kali penama hadiah Pulitzer mewartakan satu pergelutan para doktor barisan hadapan di semua benua untuk mendapatkan pengesahan Ivermectin bagi merawat Covid-19. Mengikut penulis itu, ratusan ribuan, bahkan jutaan manusia dari seluruh dunia, dari Uttar Pradesh di India ke Peru hingga Brazil yang terus hidup dan tidak maut. Namun, saluran media tidak banyak memainkan peranan untuk ‘menyahkan’ aspek negatif terhadap Ivermectin sebagai satu ubat berkesan, mudah diperoleh dan termampu untuk rawatan Covid-19.

Sering kedengaran adalah permasalahan sahaja tanpa banyak usul periksa sedangkan Capuzzo mengakui terlalu banyak kes yang berlaku tanpa dipedulikan dalam mendapatkan rawatan Ivermectin dengan sempurna. Maka masanya telah tiba untuk perkara ini diperhalusi lagi. Dan langkah terkini KKM amat dialu-alukan untuk lebih anjal dalam kesungguhan mengawal penularan pandemik. Adalah diharapkan dengan cara ini, peperangan antara syarikat-syarikat farmasi serta para penyokongnya dapat diredakan. Sebaliknya bersama-sama menumpukan pertarungan dengan koronavirus serta pelbagai lagi varian yang terbentuk dari masa ke masa. Semoga Malaysia terus diperlindungi jua.

Professor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×