PETALING JAYA: Sidang Khas Parlimen semalam menjadi medan bagi ahli-ahli Parlimen terutama dari blok pembangkang untuk melepaskan geram setelah berbulan-bulan mereka tidak bersidang ekoran pelaksanaan Proklamasi Darurat.
Sidang itu yang bertujuan untuk mencari pandangan ke arah penyelesaian pandemik Covid-19 pada mulanya berjalan lancar, namun bertukar hangat apabila tercetus ‘perang mulut’ antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang berhubung isu perjalanan persidangan itu.
Ia bermula beberapa ahli Parlimen pembangkang bangkit mempersoalkan perjalanan persidangan Parlimen yang dikendalikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dikatakan tidak memberi ruang kepada anggota dewan untuk berbahas dan mengundi berhubung Proklamasi Darurat.
Antara yang bangkit adalah Tun Dr. Mahathir Mohamed (Pejuang-Langkawi), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Warisan-Semporna) dan Ram Karpal (DAP-Bukit Gelugor).
Dr. Mahathir menyifatkan persidangan khas itu sebagai penipuan apabila tidak membuka kepada ahli-ahli Parlimen untuk berbahas dan berbincang proklamasi darurat.
Katanya, ia tidak menepati titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar sidang Parlimen dibuka untuk memberi ruang kepada anggota dewan berbahas berkenaan situasi Covid-19 dan darurat.
“Ia adalah majlis penerangan, kami tidak perlu baca, sebenarnya kalau kita perhatian sejarah Covid-19 ada ratusan kes sahaja tetapi ada pilihan raya Sabah menjadi ribuan kes. Tetapi buat pelan pemulihan ia meningkat kepada 17,000. Sepatutnya berkenaan rakyat dan bukannya berkenaan politik,” katanya.
Ramkarpal kemudian bangun mempersoalkan peranan Yang Dipertua Dewan sama ada beliau dikawal kerajaan kerana tidak membawa proklamasi darurat dan ordinan berkaitan ke dalam dewan.
Beliau berkata, Azhar tentu faham betapa pentingnya proklamasi darurat dan ordinan berkaitan dibawa ke Dewan Rakyat, selaras Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.
“Tuan Speaker telahpun tidak membawa ordinan dan proklamasi tersebut ke Dewan ini. Kenapa? Adakah anda dikawal kerajaan,” katanya.
Kata-kata Ramkarpal itu menyebabkan blok kerajaan memintanya menarik perkataan itu dengan segera.
Azhar kemudian membuat keputusan bahawa beliau menolak pertikaian yang dibangkitkan dan meminta mereka menghormati beliau.
Katanya, semua ahli Parlimen perlu diam ketika beliau bercakap dan bukannya mempersoalkan tugas beliau.
“Kalau ahli Parlimen pandai peraturan dewan, kalau saya bercakap semua ahli Parlimen kena diam. Jadi saya tidak bersetuju dengan semua Yang Berhormat cakap,” katanya.
Beliau seterusnya meminta sesi diteruskan dengan sesi Penerangan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) namun terus diganggu dengan beberapa ahli-ahli Parlimen pembangkang bangun sekali lagi mempertikaikan perjalanan Sidang Khas Parlimen.
Ini termasuk apabila mereka tidak memperdulikan permintaan Perdana Menteri supaya menyedekahkan bacaan Al Fatihah dan bertafakur sejenak untuk mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19.
Ahli Parlimen pembangkang tidak menghiraukan permintaan Perdana Menteri itu, sebalik terus bangun meminta point of order. – UTUSAN










