KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengisytiharkan ‘perang’ terhadap semua kegiatan jenayah terancang termasuk aktiviti perjudian, dadah dan penipuan dalam talian di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (gambar) menegaskan, bagi membanteras aktiviti perjudian, dua kaedah telah dirumuskan yang mana operasi besar-besaran akan dilaksanakan di seluruh negara.
Kata beliau, pihaknya mendapatkan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik premis-prenis judi selain mengenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
“Saya telah banyak terima aduan dan kecaman dari pelbagai pihak tentang masalah judi ini. Buat masa ini, selain judi, negara kita juga dilanda ancaman dadah dan scam.
“Lantaran itu saya telah berbincang dari hati ke hati dengan Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) yang mana ribuan operasi serbuan, rampasan, tangkapan dan pendakwaan telah dibuat dan akan dilakukan berterusan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, beliau mendedahkan kepada Utusan Malaysia bahawa PDRM tidak lagi memberi muka terhadap tauke-tauke judi dengan menyenaraikan mereka untuk diambil tindakan bawah POCA.
Selain itu, beliau memberi jaminan akan membersihkan warga PDRM daripada sebarang salah laku termasuk melakukan rombakan besar-besaran membabitkan pegawai kanan termasuk Ketua Polis Daerah dan Ketua Balai di Selangor.
Dalam pada itu, kata Abdul Hamid, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Akan terus bertindak proaktif memantau dan menangkap mana-mana pegawai serta anggota yang didapati menyeleweng dalam perkara ini.
“Pihak polis sedang bertungkus-lumus menangani semua perkara ini,” jelasnya. – UTUSAN










