Yakin Madani platform rakyat lihat tindakan, program kerajaan

Yakin Madani platform rakyat lihat tindakan, program kerajaan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Program Yakin MADANI menjadi platform untuk rakyat melihat sendiri pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan, selain mendapatkan maklumat secara langsung mengenai tindakan yang diambil bagi memenuhi keperluan masyarakat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat bukan sekadar mahu mendengar pengumuman mengenai perancangan kerajaan, sebaliknya ingin mengetahui sejauh mana dasar dan program yang diperkenalkan diterjemahkan kepada tindakan serta manfaat untuk mereka.

“Mengapa kita anjurkan program Yakin MADANI? Empat tahun setelah pemerintahan, rakyat bukan nak dengar hanya pengumuman rancangan tetapi hendak melihat contoh pelaksanaan program dan tindakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebab itu, kementerian-kementerian mempamerkan sebahagian daripada langkah-langkah yang kita ambil sementara memberi kemudahan atau perkhidmatan kepada rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Penutupan Program Yakin MADANI Pulau Pinang di Kompleks Sukan Balik Pulau, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kerajaan MADANI turut memberikan perhatian pada keperluan golongan berpendapatan rendah, khususnya dalam memastikan mereka mendapat akses kepada kemudahan asas dan peluang meningkatkan taraf hidup.

Sebagai contoh, beliau berkata kerajaan negeri Pulau Pinang memperuntukkan RM145 juta bagi membangunkan tiga tapak tanah wakaf untuk pembangunan rumah bagi golongan berpendapatan rendah, khususnya masyarakat Melayu manakala kerajaan Persekutuan menambah RM30 juta bagi mempercepat pelaksanaan projek berkenaan.

Dalam aspek pendidikan pula, Anwar berkata kerajaan menyediakan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM200 kepada setiap murid sekolah rendah dan menengah mulai Januari tahun depan, selain memperuntukkan RM2,500 bagi pelajar Tingkatan Enam.

Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan kerja sehari di Pulau Mutiara itu berkata pelbagai inisiatif tersebut mencerminkan usaha kerajaan dalam memastikan pembangunan negara bukan hanya tertumpu pada pertumbuhan ekonomi dan teknologi, tetapi turut mengambil kira kebajikan serta kesejahteraan rakyat.

Program Yakin MADANI Pulau Pinang yang diterajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertujuan mendekatkan kerajaan dengan masyarakat melalui penyampaian maklumat, perkongsian inisiatif serta penyediaan perkhidmatan secara langsung.

Dengan sasaran kehadiran 100,000 pengunjung, program selama dua hari itu bermula semalam menawarkan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan e-sukan, pameran aset kerajaan, pertukaran topi keledar secara percuma, pertukaran minyak hitam motosikal, Fun Walk, pertandingan mencipta logo, Pound Fitness, sukan rakyat, aktiviti Rakan Muda, Passport Hunting, kempen antibuli serta Malam Ukhuwah.

Pengunjung turut berpeluang mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan seperti pemeriksaan kesihatan, pendaftaran MyDigital ID, promosi TVET MADANI, Karnival Kerjaya MYFutureJobs, perkhidmatan gunting rambut percuma dan khidmat kaunter bergerak. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini