TIGA tahun selepas pelancaran agenda Madani, semakin jelas kerangka ini bukan sekadar slogan politik tetapi usaha nasional untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap tadbir urus melalui penekanan nilai kemanusiaan, integriti dan kesejahteraan.
Dalam tempoh ini, pelbagai inisiatif daripada Sejahtera Madani, Bakti Madani hinggalah Budi Madani telah memperlihatkan komitmen kerajaan untuk mendekatkan dasar dengan realiti hidup rakyat.
Namun, di sinilah agenda Madani memasuki fasa yang lebih mencabar tetapi juga lebih penting yakni fasa di mana naratif nilai mesti dipadankan dengan keberkesanan pelaksanaan, kejelasan hala tuju dan ketelusan tadbir urus.
Keupayaan untuk menyatukan aspirasi dengan realiti bakal menentukan sama ada Madani muncul sebagai projek pembaharuan nasional atau hanya episod retorik yang singkat.
Oleh itu, penilaian terhadap Madani pada tahun ketiga bukan lagi tentang apa yang dijanjikan, tetapi sejauh mana keupayaan sistem menyampaikan hasil yang konsisten dengan nilai ihsan, amanah, hormat dan kesejahteraan bersama. Momentum awal sudah terbentuk.
Yang diperlukan kini ialah kejujuran dalam melihat cabaran, keberanian melakukan pembetulan dan kesediaan mengurus maklum balas secara terbuka. Di sinilah kredibiliti sebuah kerangka dasar diuji pada sejauh mana naratif rasminya bersesuaian dengan pengalaman harian rakyat.
Kerajaan semasa naik mengambil alih tampuk pemerintahan dengan slogan reformasi iaitu janji untuk membaiki sistem, bukan sekadar menukar pemain. Maka, mengikut logik dasar awam, reformasi seharusnya menjadi agenda utama dalam kerajaan Madani ini.
Agenda membetulkan struktur tadbir urus, mengurangkan kebocoran, mengukuhkan institusi dan menambah baik keadilan pengagihan menjadi fokus utama. Memang inilah yang sedang dilaungkan dan diusahakan.
Namun, jika masih ada yang melihat reformasi sebagai seruan retorik tanpa penambahbaikan konkrit di peringkat dasar dan institusi, maka jurang antara harapan dan realiti akan terus melebar, walaupun banyak usaha baik telah merata pelaksanaannya di seluruh Malaysia seperti Sejati Madani.
Tanpa kerangka naratif yang boleh menerangkan apakah yang menghubungkan intervensi mikro dengan pembaikan struktur, bagaimana program-program ini saling melengkapi dan secara konkrit bagaimana ia mengubah corak tadbir urus dan peluang sosial, inisiatif ini berisiko untuk dilihat sebagai hanya rangkaian projek penjenamaan dan pemasaran sahaja, bukan trajektori reformasi yang tersusun.
Harapan rakyat terhadap Madani tetap tinggi kerana ia hadir dengan bahasa nilai seperti ihsan, amanah, hormat dan kesejahteraan bersama.
Dalam menilai tiga tahun pertama ini, persoalan yang wajar kita renungkan bersama ialah sejauh mana nilai-nilai tersebut sudah meresap ke dalam keputusan fiskal, keutamaan belanjawan, kecekapan perkhidmatan awam dan tahap ketelusan tadbir urus? Realitinya, masih ada rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup, akses perkhidmatan dan tuntutan rasa keadilan.
Tetapi di sinilah ruang memperkukuhkan Madani sebenarnya terbuka untuk menjadikan bahasa nilai bukan sekadar idealisme di atas kertas, tetapi panduan nyata yang semakin terlihat dalam pengalaman kehidupan seharian.
Ketika ini, perkara yang memerlukan penambahbaikan dan pembetulan dalam pelaksanaan Madani tidak sukar untuk dikenalpasti.
Isu penyelarasan dasar, jurang pelaksanaan di peringkat agensi dan keperluan memperkukuh integriti institusi telah berulang kali muncul dalam data, laporan audit dan maklum balas masyarakat.
Masalahnya bukan ketiadaan maklumat, tetapi bagaimana maklumat itu diurus. Adakah ia dijadikan cermin untuk memperbaiki diri, atau sekadar bahan menghias laporan?
Hakikatnya, reformasi yang dilaungkan hanya boleh menjadi realiti jika ekosistem maklum balas yang jujur dibenarkan berfungsi sepenuhnya. Reformasi tanpa ruang kritikan hanyalah penjenamaan semula status quo.
Jika suara pakar, masyarakat sivil, penjawat awam di lapangan dan golongan muda hanya diraikan ketika bersetuju tetapi diketepikan apabila membawa teguran, maka agenda reformasi mengecil menjadi kosmetik politik, bukan perubahan sistemik.
Kenyataan terbaru Perdana Menteri meminta mereka yang mengkritik tidak disiasat memperlihatkan betapa beliau sendiri memberi ruang kritikan membina.
Salahnya adalah orang di sekelilingnya yang tegar mengampu demi pangkat dan kedudukan.
Sebaliknya, kritikan konstruktif ialah aset strategik kepada Madani. Teguran berasaskan data, pengalaman lapangan dan kejujuran moral menyediakan amaran awal, mengukuhkan akauntabiliti, serta memberi legitimasi yang lebih kukuh kepada pelarasan dasar.
Negara yang berjaya mengurus pembaharuan lazimnya mempunyai ekosistem maklum balas yang terbuka, bukan budaya bisu yang takut “mengganggu” naratif.
Bagi kerajaan yang datang atas nama reformasi, kesediaan mendengar dan menjawab kritikan sepatutnya menjadi penanda aras utama komitmen pembaharuan.
Apa yang boleh dilakukan untuk tahun mendatang?
Pertama, peranan naratif Madani perlu diperkukuh sejelas-jelasnya, terutama dalam kalangan pelaksana di peringkat atasan. Mereka perlu menjadi juara Madani dalam kementerian masing-masing. Kedua, program seperti Sejati Madani, Bakti Madani dan Budi Madani perlu menjadi showcase bukan hanya aktiviti sentuhan mesra kerajaan, tetapi instrumen pengukuhan keadilan sosial, pengupayaan komuniti dan pembinaan institusi yang lebih telus.
Rakyat perlu melihat garis yang bersambung daripada nilai kepada dasar kepada program sehinggalah perubahan nyata. Tanpa garis ini, Madani berisiko menjadi jenama komunikasi, bukan bahasa pembaharuan.
Ketiga, di tahun keempat, Madani sepatutnya menandakan peralihan daripada menambah slogan kepada menstrukturkan pembaharuan. Reformasi tidak boleh lagi berdiri sebagai emosi atau slogan politik semata-mata. Ia mesti menjadi senarai kerja yang jelas, terhad tetapi berani, dengan garis masa serta pelaksana dan juara yang dikenali rakyat.
Contohnya, satu Reformasi Madani Scorecard yang dikemas kini secara berkala, termasuk pemetaan program seperti Bakti dan Budi Madani sebagai pemangkin perubahan sistem dan bukan sekadar projek bertema. Ia perlu disertakan keberanian mempamerkan data melalui papan pemuka awam dalam isu yang paling dirasai rakyat seperti kos sara hidup dan akses bantuan.
Keempat, inisiatif seperti Minggu Maklum Balas Madani atau open policy labs di setiap kementerian perlu diwujudkan untuk menghantar isyarat jelas bahawa kritikan berasaskan fakta bukan ancaman tetapi sebahagian daripada governans yang sihat.
Akhirnya, masa depan Madani bergantung kepada sejauh mana rakyat diundang sebagai rakan kongsi, bukan hanya penerima atau penonton. Jika langkah-langkah segar ini dijadikan agenda tahun-tahun mendatang, reformasi tidak lagi perlu dilaungkan setiap hari, Ia akan terbukti melalui cara kuasa diurus, bagaimana teguran dirangkum dan bagaimana program disulam ke dalam realiti hidup rakyat.
Ketika itu, Madani tidak perlu dihias dalam naratif kerana realiti di lapangan sudah mula bercakap bagi pihaknya. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










