PETALING JAYA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahu Kerajaan Persekutuan segera meluluskan peruntukan dianggarkan RM1.4 bilion bagi pelaksanaan Fasa 1B Projek Sabah Southern Madani Link untuk mengatasi masalah gangguan bekalan elektrik berskala besar di Pantai Timur Sabah.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pelaksanaan projek itu amat kritikal susulan gangguan bekalan elektrik yang berulang dalam tempoh hanya 15 bulan sehingga menjejaskan urusan harian penduduk dan kegiatan ekonomi.
Katanya, meskipun gangguan bekalan elektrik membabitkan lapan daerah di Pantai Timur Sabah ketika ini berpunca daripada bencana alam, penyelesaian jangka panjang perlu diberikan perhatian serius.
“Kita akui bencana alam adalah fenomena di luar kawalan, tetapi strategi mengurus risiko dan kesan kepada sesuatu bencana itu perlu menjadi satu keutamaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Armizan berkata, antara penyelesaian yang dikenal pasti adalah melengkapkan rangkaian grid elektrik di Sabah menerusi pembinaan rangkaian grid di selatan negeri itu dari Mengalong, Sipitang ke Tawau.
Menurutnya, rangkaian itu akan berfungsi sebagai laluan alternatif penyaluran elektrik dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah sekiranya berlaku gangguan pada rangkaian grid sedia ada, East-West Link.
Katanya, Kerajaan Persekutuan sebelum ini meluluskan pinjaman mudah berjumlah RM198 juta kepada Sabah Electricity bagi membolehkan Fasa 1A projek berkenaan dilaksanakan sejak September 2025 dan disasarkan siap pada September 2028.
“Namun begitu Fasa 1A hanya melibatkan jarak 60km dari Mengalong ke Upper Padas. Permohonan peruntukan bagi Fasa 1B melibatkan anggaran RM1.4 bilion belum diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Fasa 1B adalah amat kritikal sebagai pelengkap kepada keseluruhan Projek Sabah Southern Madani Link yang melibatkan jarak kira-kira 270km dari Upper Padas ke Tawau,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Persekutuan memberikan pertimbangan khas supaya pelaksanaan Fasa 1B dapat dimulakan segera tanpa menunggu Fasa 1A siap.
Armizan berkata, perkara itu telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan, malah kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sejak 2021 mencadangkan pelaksanaan projek berkenaan sebagai ganti kepada dua projek saluran paip yang dibatalkan pada 2018.
Kedua-dua projek itu ialah Projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) yang dibatalkan susulan isu berkaitan status pelaksanaan dan pembayaran.
Katanya, susulan pengumuman Kerajaan Persekutuan baru-baru ini mengenai pelaksanaan Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS) sebagai ganti kepada kedua-dua projek tersebut, Sabah sewajarnya turut menerima manfaat sama.
“Kerajaan Persekutuan sewajarnya memberikan pertimbangan supaya projek gantian bagi TSGP dan MPP juga memanfaatkan Sabah dengan pelaksanaan keseluruhan Fasa 1A dan Fasa 1B Projek Sabah Southern Madani Link dengan memberikan kelulusan peruntukan pada kadar segera,” katanya. – UTUSAN











