Iran didakwa guna Starlink serang tentera AS

Iran didakwa guna Starlink serang tentera AS

SEORANG wanita Iran berjalan melepasi mural anti AS dan Israel di Teheran.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAN FRANCISCO: Iran dilaporkan menggunakan perkhidmatan internet satelit Starlink milik syarikat SpaceX untuk melancarkan serangan terhadap tentera Amerika Syarikat (AS) selepas Washington dan Israel menyerang negara itu, lapor akhbar The Washington Post memetik beberapa sumber.

Menurut dua individu yang mengetahui perbincangan dalaman syarikat tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk berang selepas mengetahui dua insiden penggunaan Starlink tanpa kebenaran yang disimpulkan pasukannya mempunyai kaitan dengan operasi Iran menentang tentera AS.

Salah seorang sumber turut mendedahkan kepada akhbar itu bahawa Musk dimaklumkan tentera AS juga mengendalikan dron serangan sehala menggunakan versi ketenteraan Starlink dikenali sebagai Starshield, namun menerusi pelan lebih murah yang dikhususkan untuk operasi darat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setakat ini, pihak SpaceX dan Kementerian Luar Iran masih belum memberikan sebarang maklum balas segera berhubung permintaan komen daripada agensi berita Reuters.

The Washington Post melaporkan penggunaan Starlink oleh tentera Iran itu turut diperincikan dalam satu laporan sulit yang diserahkan kepada Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth.

Bagaimanapun, Jabatan Pertahanan AS dalam kenyataan kepada Reuters memaklumkan pihaknya tidak mengetahui mengenai laporan kepada pejabat Setiausaha Pertahanan yang berkaitan dengan perkara tersebut.

Penggunaan Starlink di zon konflik geopolitik, tahap kawalannya oleh kerajaan AS serta penyalahgunaan secara haram oleh entiti yang dikenakan sekatan kini menjadi tumpuan utama di tengah-tengah perang yang berlarutan di Ukraine dan Iran.

Walaupun Starlink tidak dilesenkan untuk beroperasi di Iran, Musk sebelum ini pernah mengakui perkhidmatan satelit berkenaan aktif di negara tersebut.

Pihak berkuasa Iran kerap menyekat akses internet awam semasa tempoh pergolakan domestik termasuk ketika protes besar-besaran yang meragut nyawa pada Januari lalu yang mendorong kerajaan AS menyeludup masuk ribuan terminal Starlink ke Iran menurut laporan The Wall Street Journal.

Kerajaan Iran terus mengekalkan kawalan ketat terhadap akses internet sejak AS dan Israel memulakan konflik ketenteraan semasa ke atas negara itu pada penghujung Februari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini