PETALING JAYA: Usaha Kerajaan Madani memperkasa ekonomi masyarakat luar bandar menerusi pendekatan pembangunan berasaskan komuniti mula menampakkan hasil apabila penduduk Kampung Nour Iman, Kuala Tatau, Bintulu di sini berjaya menjana nilai jualan produk kraf sebanyak RM159,605 dalam tempoh 2025 hingga Oktober lalu.
Pencapaian menerusi Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) di bawah inisiatif Kampung Angkat Madani itu membuktikan pembangunan yang disesuaikan dengan potensi dan keperluan penduduk setempat mampu membuka sumber ekonomi baharu, sekali gus meningkatkan peluang penjanaan pendapatan isi rumah.
Lebih membanggakan, inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Kraftangan Malaysia itu berjaya melibatkan 60 peserta dalam tiga bidang perusahaan kraf iaitu batik linut, manik dan anyaman plastik.

Kampung Nour Iman dipilih sebagai Kampung Angkat Madani MOTAC bermula 2024, mengambil kira potensi pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat yang sebahagian besarnya bergantung kepada sektor perikanan sebagai sumber mata pencarian, manakala kebanyakan wanita merupakan suri rumah.
Menerusi pelaksanaan PPKK, Kraftangan Malaysia bertindak sebagai agensi pelaksana dengan menyediakan latihan kemahiran teknikal dan keusahawanan menggunakan pendekatan Train and Place bagi memastikan peserta bukan sahaja mampu menghasilkan produk, malah mempunyai pengetahuan untuk memasarkannya.
Daripada keseluruhan nilai jualan RM159,605, produk batik linut mencatat pencapaian tertinggi sebanyak RM68,829 diikuti anyaman plastik RM57,350 dan kraf manik RM33,426.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing sebelum ini berkata, kampung tersebut dipilih sebagai lokasi pelaksanaan program yang menyaksikan pelbagai kemudahan asas berjaya ditambah baik demi kesejahteraan penduduk.
Katanya, antara projek yang dilaksanakan termasuk menaik taraf dewan masyarakat bagi kegunaan aktiviti komuniti, selain pemasangan lampu solar di beberapa lokasi strategik untuk meningkatkan aspek keselamatan dan pencahayaan pada waktu malam.
Setiausaha Kampung Nour Iman, Kisnadey Azmi berkata, inisiatif yang dilaksanakan kementerian dan kerajaan itu berupaya meningkatkan ekonomi serta pendapatan penduduk menerusi peluang penjualan dan tempahan produk kraf tangan.
“Usaha pihak Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya serta kerajaan ini mampu meningkatkan ekonomi dan pendapatan penduduk di sini. Ada yang membeli produk kraf tangan yang dihasilkan, selain ada yang membuat tempahan dan sebagainya,” katanya.
Pencapaian tersebut memperlihatkan potensi perusahaan kraf sebagai sumber ekonomi alternatif kepada komuniti luar bandar, khususnya golongan wanita yang sebelum ini tidak mempunyai asas dalam bidang berkenaan.
Dari segi pelaksanaan, sebanyak 29 aktiviti direkodkan dengan keseluruhan 637 penyertaan, merangkumi empat komponen utama iaitu makmal pembangunan dan pengeluaran produk kraf, penggalakan pengeluaran produk, kursus keusahawanan serta simulasi perniagaan komuniti.
Melalui pembangunan produk itu, peserta diberikan latihan menghasilkan produk mengikut bidang masing-masing termasuk teknik batik linut, sulaman manik dan anyaman plastik.
Bagi batik linut, peserta didedahkan kepada teknik penghasilan corak menggunakan bahan linut serta motif songket dan keringkam, sebelum menghasilkan produk seperti baju-T, selendang dan kain pasang.

Dalam bidang anyaman plastik pula, peserta mempelajari teknik anyaman jalin satu dan dua bagi menghasilkan produk komersial seperti beg tote dan bakul bertutup, manakala penghasilan kraf manik memberi tumpuan kepada teknik sulaman serta pembuatan aksesori seperti rantai leher dan anting-anting.
Latihan itu turut disusuli aktiviti penggalakan pengeluaran produk dalam tiga fasa sepanjang 2025 bagi memastikan kemahiran yang dipelajari dapat diterjemahkan kepada penghasilan produk secara berterusan.
Pada masa sama, peserta diberikan pendedahan berkaitan aspek keusahawanan termasuk pengiraan kos, penetapan harga, pengurusan pengeluaran dan simulasi perniagaan bagi membolehkan mereka mengurus perusahaan secara lebih sistematik.
Usaha memperluas pasaran turut menjadi antara keutamaan apabila komuniti kraf diberi peluang menyertai pelbagai program jualan dan promosi di dalam serta luar Sarawak.
Antaranya termasuk ASEAN Art and Craft Bazaar 2025 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Festival Kraf Borneo Sarawak 2025 di Kuching Waterfront, Program Rancakkan Madani di Dataran Putrajaya serta Festival Kraf Johor di Johor Bahru.
Malah, peserta turut mengikuti Kursus Fotografi Produk Kraf dan Pemasaran Dalam Talian pada November 2025 bagi meningkatkan keupayaan mempromosikan produk menerusi platform digital.
Pendedahan berkenaan penting bagi membantu pengusaha komuniti menghasilkan bahan promosi lebih menarik, sekali gus memperluaskan capaian pelanggan melangkaui pasaran setempat.
Selain latihan dan pemasaran, projek itu turut berjaya melahirkan seorang usahawan kraf baharu serta membentuk komuniti sokongan yang terlibat secara aktif dalam aktiviti pengeluaran produk.
Kejayaan tersebut turut memberi nilai tambah kepada identiti tempatan apabila produk seperti batik linut dan kraf manik berpotensi diketengahkan sebagai cenderamata rasmi kampung untuk pelancong yang berkunjung ke Kampung Nour Iman.
Pendekatan itu bukan sahaja membuka ruang kepada penjanaan pendapatan, malah membantu mengangkat warisan dan keunikan budaya Kuala Tatau serta Bintulu sebagai tarikan pelancongan berasaskan komuniti. Bagi memastikan pelaksanaan projek mencapai matlamat, sebanyak RM496,666.43 dibelanjakan sepanjang tahun 2024 hingga 2025.
Secara keseluruhannya, kejayaan Kampung Nour Iman mencerminkan bagaimana agenda Kampung Angkat Madani mampu diterjemahkan kepada hasil yang lebih bermakna apabila pembangunan tidak hanya tertumpu kepada penyediaan kemudahan fizikal.
Sebaliknya ia turut memberi perhatian kepada peningkatan kemahiran, peluang pekerjaan dan keupayaan masyarakat menjana pendapatan sendiri. – UTUSAN











