Tambah acara Sukan SEA 2027 perlu persetujuan SEAGF - Utusan Malaysia

Tambah acara Sukan SEA 2027 perlu persetujuan SEAGF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Malaysia terbuka untuk menambah beberapa acara untuk dipertandingkan seperti dicadangkan Indonesia pada Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia komited untuk terus mempromosikan sukan tetapi ia perlu mendapat persetujuan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).

“Baru-baru ini, ada kontroversi sedikit (mengenai) Sukan SEA. Presiden Indonesia (Prabowo Subianto) sebut pada saya, boleh tak tambah dua tiga jenis sukan yang diminta.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak ada halangan, saya tanya KBS (Kementerian Belia dan Sukan), tidak ada halangan dan kita ikut proses Jawatankuasa Sukan SEA.

“Kita sokong jika penambahan (acara sukan), kita tidak mahu menghalang. Ada beberapa jenis sukan yang mahu ditonjolkan di Thailand, Filipina, Indonesia, Singapura dan Malaysia, kita beri galakan, cuma prosesnya itu, kita ikut keputusan SEAGF,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Shamsul Azri Abu Bakar.

Sebelum ini, Mohammed Taufiq memaklumkan, Malaysia menerima surat daripada Indonesia pada 13 November lalu berhubung hasrat negara itu supaya beberapa acara tambahan dipertandingkan pada Sukan SEA 2027.

Beliau berkata, surat itu bukan bertujuan memboikot temasya berkenaan, sebaliknya menyuarakan hasrat Indonesia supaya beberapa acara sukan dipertimbang untuk dimasukkan dalam senarai pertandingan.

Katanya, Malaysia menghormati pandangan Indonesia dan akan memberikan maklum balas secara rasmi terhadap surat berkenaan tetapi menegaskan bahawa pemilihan sukan bagi temasya itu sudah melalui proses panjang yang dipersetujui semua negara anggota SEAGF.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini