Jadikan lautan sumber baharu kemajuan ekonomi negara - Utusan Malaysia

Jadikan lautan sumber baharu kemajuan ekonomi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia dianugerahkan kekayaan sumber semula jadi yang cukup besar untuk dimanfaatkan demi kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara. Antara khazanah yang berpotensi besar untuk diteroka adalah lautan, kawasan pesisir pantai serta pelbagai hasil mahsul yang terkandung di dalamnya.

Sehubungan itu, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), 2026–2030, telah meletakkan pembangunan ekonomi biru atau blue economy, iaitu kegiatan ekonomi berasaskan sumber lautan, sebagai antara pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negara.

Langkah ini amat tepat dan bersifat semula jadi, mengambil kira kedudukan geografi Malaysia dikelilingi kawasan perairan luas serta mempunyai kelebihan strategik dari segi laluan perdagangan maritim antarabangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, pengiktirafan ekonomi biru sebagai salah satu sumber pertumbuhan baharu negara tidak seharusnya terhenti pada peringkat dasar semata-mata. Malaysia memerlukan satu pelan pembangunan jangka panjang menyeluruh bagi mengenal pasti potensi, menetapkan hala tuju serta memandu pembangunan industri berasaskan lautan untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

Hubungan masyarakat di rantau ini dengan laut bukan sesuatu yang baharu. Sejarah membuktikan kehidupan orang Melayu, sebagai penduduk asal rantau ini, amat rapat dengan budaya maritim, pelayaran dan perdagangan merentasi Kepulauan Melayu, malah sehingga ke wilayah yang lebih jauh.

Kesultanan Melayu Melaka pernah muncul sebagai antara pusat perdagangan antarabangsa terpenting dunia, sehingga mampu menyaingi pusat perdagangan utama di Barat seperti Venice, Itali. Malah, terdapat catatan ahli sejarah yang menggambarkan kekuatan ekonomi Melaka dengan ungkapan bahawa Melaka mampu ‘menjerut leher Venice’.

Potensi industri maritim
Dalam konteks pembangunan ekonomi moden, ekonomi biru mempunyai skop yang luas. Ia bukan hanya berkaitan aktiviti menangkap ikan atau mengeksploitasi hasil laut, tetapi merangkumi pelbagai industri yang saling berkaitan.

Antaranya adalah perdagangan maritim, pelayaran, perkapalan, perikanan pesisir dan laut dalam, perkhidmatan pelabuhan, pemprosesan hasil laut serta industri sokongan yang mempunyai nilai tambah tinggi.

Tidak kurang penting adalah pembangunan perkhidmatan kewangan, logistik dan perkhidmatan pelabuhan yang semakin strategik dalam ekosistem perdagangan antarabangsa.

Ini kerana sebahagian besar perdagangan dunia menggunakan pengangkutan laut. Dianggarkan kira-kira 90 peratus perdagangan antarabangsa dari segi jumlahnya diangkut melalui laut, menjadikan industri perkapalan dan pelabuhan sebagai komponen penting ekonomi global.

Malaysia mempunyai kelebihan besar dalam bidang ini menerusi kewujudan pelabuhan utama seperti Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang, Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor, selain Pelabuhan Kuantan.

Semua ini berpotensi dikembangkan sebagai hab perdagangan, logistik dan perkhidmatan maritim serantau. Kelebihan ini turut membuka ruang kepada pembangunan industri pembinaan dan pembaikan kapal yang lebih kompetitif, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, potensi industri perikanan laut dalam juga masih belum diterokai secara optimum di Malaysia jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Filipina, Thailand dan Vietnam.

Kegiatan menangkap ikan di laut dalam mempunyai prospek ekonomi yang besar, khususnya apabila dilaksanakan menggunakan teknologi moden, kapal yang sesuai serta sistem pengurusan sumber perikanan yang mampan.

Kedudukan strategik laluan perdagangan
Malaysia turut mempunyai kelebihan geografi yang cukup signifikan menerusi dua kawasan perairan utama, iaitu Selat Melaka dan Laut China Selatan. Selat Melaka khususnya antara laluan perdagangan maritim paling sibuk dan strategik di dunia.

Dianggarkan hampir 100,000 kapal, sama ada kapal besar mahupun kecil, melalui laluan ini setiap tahun untuk menuju ke destinasi perdagangan utama seperti Jepun, China, India, Asia Barat dan Eropah.

Kedudukan ini memberikan nilai strategik yang besar kepada Malaysia, bukan sahaja dari sudut perdagangan, malah dalam aspek keselamatan, perkhidmatan perkapalan dan pembangunan ekonomi maritim. Kehadiran Singapura di selatan Semenanjung Malaysia sebagai antara pusat perdagangan entrepot utama dunia turut memperlihatkan betapa pentingnya kedudukan Malaysia dalam ekosistem perdagangan serantau.

Oleh itu, pembangunan ekonomi biru perlu mengambil kira kerjasama pengurusan dan pembangunan kawasan perairan bersama, khususnya antara Malaysia dengan Singapura serta Indonesia.

Kerjasama ini penting bagi memastikan potensi ekonomi perairan dapat dimanfaatkan secara bersama tanpa mengabaikan kepentingan dan kedaulatan negara.

Satu lagi bidang yang mempunyai potensi besar adalah pelancongan marin atau marine tourism. Malaysia memiliki banyak pulau yang indah dan kaya dengan biodiversiti marin, antaranya Pulau Langkawi, Pulau Redang, Pulau Tioman, Pulau Sipadan di Sabah dan Pulau Pangkor di Perak.

Pembangunan sektor ini secara terancang mampu menjana pendapatan pelancongan, merancakkan ekonomi komuniti pesisir serta membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana dalam bidang penginapan dan aktiviti rekreasi.

Keselamatan dan kedaulatan perairan
Dalam membangunkan ekonomi biru, aspek keselamatan dan penguatkuasaan perairan tidak boleh dipandang ringan.

Kekayaan sumber laut negara hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya sekiranya kawasan perairan dan pesisir pantai dilindungi dengan berkesan. Justeru, Malaysia perlu memperkukuh keupayaan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebagai barisan hadapan dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.

Penguatkuasaan yang berkesan juga penting bagi membendung kegiatan penyeludupan barangan seperti beras dan minyak diesel yang berlaku akibat perbezaan harga antara Malaysia dengan negara jiran, termasuk Indonesia dan Thailand.

Selain sumber perikanan dan perdagangan, industri minyak dan gas turut menjadi komponen penting ekonomi biru Malaysia. Kegiatan penerokaan dan pengeluaran petroleum serta gas asli negara banyak dilaksanakan di kawasan laut, termasuk di perairan Terengganu, Sabah, Sarawak dan Kelantan.

Malah, potensi penerokaan sumber petroleum dan gas di kawasan perairan bertindih dengan negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Brunei, Kemboja dan Vietnam boleh diteroka menerusi kerjasama strategik.

Mekanisme kerjasama itu bukan sahaja membolehkan sumber semula jadi dimanfaatkan secara bersama, malah membantu mengelakkan pertikaian dan ketegangan antara negara berjiran. Pendekatan seumpama ini wajar diperluas ke kawasan lain yang mempunyai potensi sumber ekonomi, khususnya dalam semangat kejiranan dan kerjasama ASEAN.

Perlu ada Pelan Induk Ekonomi Biru
Kesimpulannya, kekayaan sumber laut, kedudukan strategik di laluan perdagangan antarabangsa, kewujudan pelabuhan utama, potensi industri perikanan, pelancongan marin serta sektor minyak dan gas merupakan aset yang boleh dimanfaatkan secara lebih tersusun dan bersepadu.

Sudah tiba masanya Malaysia menyediakan satu Pelan Induk Ekonomi Biru atau The Blue Economy Master Plan sebagai panduan pembangunan industri berasaskan lautan untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

Lebih penting, pembangunan ekonomi biru perlu berteraskan prinsip kemampanan agar kekayaan laut bukan sahaja dapat dinikmati oleh generasi hari ini, malah terus menjadi sumber kemakmuran untuk generasi akan datang.

Lautan bukan sekadar sempadan geografi negara. Jika diurus dan dibangunkan dengan bijaksana, lautan mampu menjadi sempadan baharu kepada kemajuan ekonomi Malaysia.

Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob ialah Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini