KUANTAN: Seramai 6,926 anggota daripada 14 jabatan dan agensi keselamatan serta teknikal di Pahang digerakkan bagi menghadapi risiko banjir 572 kawasan yang dikenal pasti sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesiapsiagaan itu turut membabitkan penyediaan 1,205 aset darat dan 222 aset air bagi memastikan operasi menyelamat serta bantuan kepada mangsa banjir dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Menurutnya, sebanyak 878 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti dengan kapasiti menempatkan sehingga 184,820 mangsa banjir pada satu-satu masa.
“Selain itu, Pahang juga mempunyai pusat pemindahan tetap yang menyediakan kemudahan lebih selesa kepada mangsa banjir, termasuk pengasingan ruang lelaki dan perempuan, tempat memasak serta surau,” katanya ketika menjawab soalan V. Arumugam (BN-Sabai) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan bantuan kepada mangsa banjir yang mengalami kejadian berulang di lokasi sama dalam tempoh tiga bulan, meskipun tidak lagi layak menerima bantuan sekali lagi daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Beliau berkata, ketetapan bantuan sekali dalam tempoh tiga bulan itu merupakan dasar yang ditetapkan kerajaan Persekutuan menerusi arahan NADMA.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri tidak akan mengabaikan kebajikan mangsa yang terjejas sekiranya berlaku kejadian banjir berulang.
“Daripada segi kerajaan negeri, sekiranya berlaku lagi banjir seperti ini, kerajaan negeri tidak akan mengabaikan kebajikan mereka.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan sentiasa memantau dan mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri. Sekiranya benar-benar memerlukan bantuan, kerajaan negeri akan mempertimbangkannya,” katanya. – UTUSAN











