Tempoh ahli majlis, ketua kampung Johor dipendekkan

Tempoh ahli majlis, ketua kampung Johor dipendekkan

ONN HAFIZ GHAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Tempoh pelantikan Ahli Majlis dan Ketua Kampung di Johor dipendekkan daripada dua tahun kepada satu tahun dengan syarat sambungan kontak hanya dibuat sekiranya memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah itu bertujuan memastikan setiap lantikan memikul tanggungjawab di kawasan masing-masing dengan memberikan perkhidmatan terbaik di peringkat akar umbi.

Katanya, KPI tersebut akan menilai tiga aspek utama iaitu kekerapan turun padang, kepantasan memberi maklum balas serta keberkesanan tindakan susulan terhadap aduan dan isu setempat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semasa menerima lantikan, setiap Ahli Majlis dan Ketua Kampung hendaklah menandatangani surat aku janji sebagai tanda persetujuan kepada KPI ini.

“Justeru itu, saya tegaskan bahawa mana-mana Ahli Majlis dan Ketua Kampung yang gagal mencapai KPI ditetapkan selepas satu tahun, pelantikannya tidak akan diperbaharui,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini, hari ini.

Tambah Onn Hafiz, ukuran kejayaan sesebuah kepimpinan tidak terletak kepada kekerapan mesyuarat diadakan, sebaliknya kejayaan menyelesaikan masalah rakyat secara berkesan.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan penambahan kategori penerima Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Tujuh melibatkan beberapa golongan termasuklah warga emas, pekebun kecil serta pesakit kanser dan dialisis.

“BKJ Warga Emas sebanyak RM200 seorang akan memanfaatkan lebih 400,000 penerima dengan peruntukan RM83 juta, manakala BKJ Pesakit Kanser dan Dialisis sebanyak RM200 seorang akan memanfaatkan lebih 14,000 penerima dengan peruntukan RM2.9 juta.

“BKJ Pekebun Kecil B40 sebanyak RM200 seorang akan memanfaatkan lebih 21,000 penerima dengan peruntukan RM4.3 juta,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini