Kerajaan negeri mahu dakwaan warga Israel terlibat aktiviti di Forest City disiasat - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri mahu dakwaan warga Israel terlibat aktiviti di Forest City disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan meminta kementerian berkaitan menyiasat dakwaan terdapat warga Israel yang menyertai program Network School di Forest City, Iskandar Puteri menggunakan pasport negara kedua.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan bertindak secara bertanggungjawab serta berlandaskan undang-undang demi melindungi kepentingan negeri dan mempertahankan kedaulatan negara.

“Kerajaan negeri mengambil maklum dan memandang serius kebimbangan rakyat berhubung operasi Network School di Forest City, termasuk dakwaan terdapat warga Israel menyertai program tersebut menggunakan pasport negara kedua.

“Saya tegaskan kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan negeri ini sebagai tapak membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan dan kepentingan Johor serta Malaysia.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri meminta Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan agensi keselamatan berkaitan menjalankan semakan serta siasatan menyeluruh terhadap dakwaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Onn Hafiz, antara aspek yang perlu disiasat termasuklah identiti dan kewarganegaraan individu terlibat; dokumen perjalanan dan penggunaan pasport kedua; jenis pas serta tujuan kemasukan ke Malaysia dan keselarasan antara tujuan kemasukan dengan aktiviti sebenar yang dijalankan.

“Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Digital dan agensi kawal selia berkaitan turut diminta menentukan status sebenar operasi Network School serta sama ada program yang dijalankan memerlukan pendaftaran atau kelulusan di bawah undang-undang negara.

“Manakala di peringkat negeri, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor serta agensi berkaitan akan menyemak semula semua aspek pematuhan yang berada di bawah bidang kuasa masing-masing, termasuk pematuhan terhadap syarat lesen premis, penggunaan bangunan, syarat nyata dan syarat khas tanah, penginapan, aktiviti perniagaan serta apa-apa keperluan perundangan atau peraturan lain yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau turut memberitahu, sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, pelanggaran syarat lesen atau syarat tanah, atau sebarang unsur yang boleh menjejaskan kepentingan negeri serta keselamatan negara, pihaknya menggesa tindakan tegas diambil pihak berkuasa tanpa sebarang kompromi.

Baru-baru ini, tular di media sosial beberapa pihak mempersoalkan kehadiran Network School di Forest City yang didakwa telah menarik minat usahawan asing, termasuk warga Israel yang melancong menggunakan pasport negara kedua.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN