PETALING JAYA: Pelakon, Dian Danielle mengakui bahawa individu yang mempunyai Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD) masih boleh berasa kecewa terhadap diri sendiri biarpun berjaya menyiapkan tugasan yang tertangguh.
Diana atau Diana Danielle Danny Beeson, 35, berkata, perasaan sebegitu mula timbul dalam keadaan seseorang itu sukar untuk menyiapkan sesuatu kerja walaupun sudah beberapa kali mencuba sepanjang hari.
“Bila ada ADHD dan lupa untuk siapkan sesuatu tugasan, kita mudah rasa kecewa dan salahkan diri sendiri kerana tidak mampu selesaikan perkara yang sepatutnya boleh dilakukan. Lebih-lebih lagi apabila sudah berkali-kali cuba menyiapkannya sepanjang hari.
“Walaupun berjaya siapkan, masih ada rasa tidak sedap hati kerana seolah-olah tidak boleh bergantung pada diri sendiri. Tapi, pada masa sama, saya turut berasa lega kerana akhirnya berjaya melakukannya,”katanya menerusi hantaran di Threads.
Pun begitu, pelakon Magika itu berkata, dia cuba mengatasi perasaan sedemikian dengan tidak terlalu banyak berfikir dan memilih untuk menyambung semula tugasan tersebut sehingga berjaya diselesaikan.
“Bagi saya, daripada terus fikirkan perasaan itu, lebih baik saya sambung semula tugasan tersebut kalau berpeluang dan cuba siapkannya. Saya cuba untuk tidak terus salahkan diri sendiri,” katanya.
Berdasarkan laporan media, Diana Danielle pernah mengesahkan dirinya mempunyai ADHD dan gejala itu membuat dia mempunyai masalah memori dan menjadikannya cepat lupa.
Dalam laporan sama, Diana juga menafikan dakwaan segelintir pihak yang mendakwanya menghidapi penyakit sindrom.











