SEOUL: Seorang pelajar lelaki di Korea Selatan digantung sekolah selepas membuang air kecil ke dalam botol air milik rakan sekelasnya.
Mangsa pula dilaporkan meninggalkan sekolah berkenaan selepas insiden itu, menurut Pejabat Pendidikan Wilayah Gyeongsangnam-do semalam.
Kejadian berlaku pada 21 September di sebuah sekolah menengah di Gimhae, wilayah Gyeongsang Selatan.
Susulan insiden itu, Pejabat Pendidikan Daerah Gimhae menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat kes berkenaan.
Pada 30 Oktober, jawatankuasa itu mengarahkan pelajar lelaki terbabit supaya tidak mendekati mangsa, selain menggantung persekolahannya dan mewajibkannya bertukar kelas.
Jawatankuasa berkenaan turut menetapkan langkah perlindungan untuk mangsa, termasuk kaunseling psikologi dan pertukaran kelas.
Bagaimanapun, pelajar perempuan itu meninggalkan sekolah berkenaan pada 11 November.
Pejabat pendidikan wilayah itu menerima kritikan kerana tindakan yang diambil dianggap tidak mencukupi, selain dakwaan seorang pegawai penyiasat pejabat pendidikan daerah mengeluarkan kenyataan tidak wajar kepada mangsa.
Dalam kenyataan semalam, pejabat pendidikan wilayah itu berkata, pihaknya kesal mangsa akhirnya meninggalkan sekolah walaupun pejabat pendidikan daerah sudah berusaha melaksanakan langkah perlindungan.
“Pejabat pendidikan daerah berusaha melaksanakan langkah berkesan bagi melindungi pelajar yang terjejas, namun kesal kerana mangsa akhirnya meninggalkan sekolah,” menurut kenyataan itu.
Pejabat pendidikan itu turut mempertahankan tindakan disiplin yang dikenakan dengan menjelaskan rekod pertukaran kelas kekal dalam rekod persekolahan pelajar sehingga empat tahun selepas tamat pengajian dan boleh menjejaskan peluang kemasukan ke universiti serta pekerjaan.
Di Korea Selatan, pertukaran kelas merupakan bentuk hukuman terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin, namun jenis kesalahan yang dilakukan tidak dinyatakan dalam rekod persekolahan.
Pejabat pendidikan wilayah itu turut mengakui mengetahui dakwaan kenyataan pegawai penyiasat berkenaan menyebabkan mangsa mengalami ketidakselesaan fizikal.
Bagaimanapun, pejabat itu tidak mendedahkan kenyataan yang dikatakan dikeluarkan oleh pegawai berkenaan.- AGENSI











