Untung bersih DRB-Hicom melonjak kepada RM149.74 juta

Untung bersih DRB-Hicom melonjak kepada RM149.74 juta pada suku ketiga 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) mencatatkan lonjakan keuntungan bersih kepada RM149.74 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 berbanding RM19.41 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, keuntungan bersih boleh diagih kepada pemilik syarikat turut kembali mencatatkan keuntungan sebanyak RM101.87 juta berbanding kerugian bersih RM15.20 juta pada suku ketiga 2025, dengan pendapatan sesaham asas meningkat kepada 5.27 sen.

“Keuntungan pra-cukai bagi suku dikaji pula melonjak lebih lima kali ganda kepada RM335.59 juta daripada RM64.74 juta sebelumnya, didorong sumbangan lebih tinggi daripada segmen mobiliti, hartanah dan perbankan, disokong peningkatan jualan, prestasi operasi lebih baik serta pengurusan kos berkesan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil kumpulan pada suku ketiga 2026 meningkat 35.4 peratus kepada RM6.08 bilion berbanding RM4.49 bilion pada ST3 2025, dipacu pertumbuhan hasil merentasi semua segmen perniagaan.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, DRB-HICOM merekodkan keuntungan bersih lebih dua kali ganda sebanyak RM425.03 juta berbanding RM210.84 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, manakala keuntungan bersih boleh diagih kepada pemilik syarikat meningkat kepada RM177.43 juta daripada RM60.62 juta.

“Keuntungan pra-cukai bagi tempoh sembilan bulan pertama turut meningkat lebih dua kali ganda kepada RM676.11 juta berbanding RM280.55 juta pada 9B 2025, seiring hasil yang naik 28.3 peratus kepada RM16.34 bilion daripada RM12.74 bilion.

“Prestasi sembilan bulan pertama 2026 diterajui segmen mobiliti yang mencatatkan peningkatan hasil 36.4 peratus kepada RM12.80 bilion berbanding RM9.39 bilion sebelum ini, terutamanya didorong jualan kenderaan Proton yang lebih tinggi serta peningkatan sumbangan perniagaan aeroangkasa susulan pengambilalihan CTRM AeroSystems Sdn. Bhd. pada Disember 2025,” katanya. 

Sementara itu, segmen perbankan merekodkan kenaikan hasil 9.5 peratus kepada RM1.81 bilion berbanding RM1.65 bilion sebelum ini, disokong pendapatan pembiayaan lebih tinggi hasil pertumbuhan jumlah pembiayaan dan pertambahan bilangan pelanggan.

“Segmen pos pula mencatatkan peningkatan hasil 8.5 peratus kepada RM1.46 bilion daripada RM1.34 bilion, dipacu sumbangan lebih kukuh daripada perniagaan kurier, penerbangan dan logistik meskipun sebahagiannya diimbangi penurunan hasil perniagaan antarabangsa dan mel.

“Segmen perkhidmatan turut mencatat pertumbuhan hasil 5.0 peratus kepada RM166.44 juta berbanding RM158.57 juta berikutan peningkatan jumlah pemeriksaan kenderaan serta permintaan lebih tinggi bagi perkhidmatan pemeriksaan bergerak kenderaan, manakala hasil segmen hartanah susut kepada RM104.11 juta daripada RM197.68 juta selepas penyiapan projek pembinaan tahun lalu,” katanya. 

Mengulas prospek, DRB-HICOM berkata, Proton menunjukkan momentum jualan kukuh dengan jualan mencecah 153,316 unit dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, sekali gus mengatasi jumlah jualan tahunan 2025 sebanyak 151,564 unit serta melonjakkan bahagian pasaran kepada 25.4 peratus berbanding 19.0 peratus tahun lalu.

“Barisan kenderaan berelektrik (xEV) Proton turut merekodkan 31,104 penghantaran domestik dengan model e.MAS 5 kekal sebagai kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia, mencerminkan penerimaan pasaran dan keyakinan pengguna yang semakin meningkat.

“Bagi segmen Pos, kumpulan kekal yakin dengan komitmen kerajaan menubuhkan Dana Perkhidmatan Pos melalui peruntukan RM150 juta menjelang suku pertama 2027 seperti diumumkan pada 9 Oktober lalu, di samping pelaksanaan pelan transformasi Pos Malaysia,” tambahnya. 

Kumpulan menjangkakan prospek yang sederhana bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 di sebalik ketahanan ekonomi domestik serta risiko luaran termasuk konflik berpanjangan di Asia Barat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini