KUALA LUMPUR: Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 52.5 peratus kepada RM1.55 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 berbanding RM1.01 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu disumbangkan penyelesaian penjualan empat bidang tanah, penyerahan milikan kosong beberapa projek pembangunan serta peningkatan tuntutan kemajuan pembinaan bagi projek yang sedang dilaksanakan.
Bagaimanapun, kumpulan merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM23.3 juta bagi tempoh berkenaan berbanding keuntungan sebelum cukai RM700,000 dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi keuntungan terjejas akibat peningkatan kos pembinaan yang mengecilkan margin kasar, selain perbelanjaan pembiayaan lebih tinggi dan kos pentadbiran serta am yang kekal meskipun hasil menurun.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, hasil kumpulan menyusut 9.9 peratus kepada RM380.7 juta berbanding RM422.4 juta dalam suku sama tahun lalu.
Penurunan itu sebahagiannya disebabkan tempoh perbandingan tahun lalu merangkumi hasil pelupusan tanah sebanyak RM93.8 juta.
Dalam tempoh sama, kerugian sebelum cukai bagi suku ketiga meningkat kepada RM32.4 juta berbanding RM15.3 juta setahun sebelumnya.
Dari segi kedudukan kewangan, jumlah pinjaman kumpulan berkurangan sebanyak RM102.8 juta atau 3.7 peratus kepada RM2.65 bilion setakat 30 September 2026 berbanding RM2.75 bilion pada 31 Disember 2025.
Pengurangan itu mencerminkan usaha kumpulan mengurangkan hutang menerusi pengewangan aset serta pengurusan kewangan yang lebih berdisiplin.
Sementara itu, jualan belum dibil Tropicana berjumlah RM1.4 bilion pada akhir September lalu, sekali gus menyediakan potensi hasil masa depan apabila projek pembangunan mencapai kemajuan pembinaan.
MARC Ratings turut menyemak naik prospek penarafan Tropicana kepada positif daripada stabil, sambil mengekalkan penarafan A bagi kumpulan.
Dalam perkembangan operasi, Tropicana sedang meneruskan pembangunan projek di beberapa lokasi termasuk Lembah Klang, Genting Highlands, Langkawi dan Johor, selain merancang pembangunan baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM5.5 bilion bagi 2026 dan 2027.
Antara pembangunan semasa kumpulan termasuk SouthPlace 2 Residences & Shoppes di Tropicana Metropark, Subang Jaya; Avisa Residences di Tropicana Alam, Puncak Alam serta Breeze Hill Service Apartments di Tropicana Avalon, Genting Highlands.
Bagi pembangunan akan datang, kumpulan merancang projek Aeri Residences di Tropicana Metropark, Subang Jaya; pembangunan kediaman servis di Tropicana GrandPark, Kota Damansara serta beberapa projek di Langkawi dan Johor Bahru.
Tropicana turut menyasarkan penyerahan milikan kosong bagi empat pembangunan sepanjang tahun kewangan 2026, termasuk Umara Shop Offices di Tropicana Aman, Edelweiss Serviced Residences di Tropicana Gardens serta Assana dan Merissa Serviced Suites di Tropicana Cenang.
Pengurusan Tropicana berkata, kumpulan akan memberi tumpuan kepada penukaran jualan, pengewangan aset terpilih dan pelaksanaan projek secara cekap bagi meningkatkan aliran tunai serta memperkukuh kedudukan kewangan.
Kumpulan turut merancang mengawal kos, mengurangkan nisbah penggearan dan melaksanakan pelancaran baharu mengikut permintaan pasaran, dengan kedudukan bank tanah semasa seluas 1,349.7 ekar yang mempunyai potensi GDV RM102.6 bilion. – UTUSAN











